fbpx

Ujian lanjut dilakukan terhadap kematian remaja

Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang membuat beberapa ujian tambahan terhadap sampel tisu dalaman dari mayat seorang remaja berusia 13 tahun yang meninggal dunia pada Januari lalu, termasuk berkemungkinan perlu menghantarnya ke luar negara untuk pengujian selanjutnya.

Ia bagi menentukan punca sebenar kematian mengejut remaja berkenaan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ketika ini, KKM akan membentangkan hasil dapatan bedah siasat dan semua keputusan ujian yang dijalankan setakat ini, termasuk pemeriksaan histologi dan dibincangkan dalam kalangan pakar-pakar forensik pada satu sesi ‘peer-review’ pada 7 Mac ini untuk pengesahan.

Beliau berkata, laporan bedah siasat dan semua keputusan ujian yang dijalankan seterusnya akan turut diserahkan kepada ibu bapa mendiang selepas selesai sesi ‘peer-review’ itu.

“Hari ini saya bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dan Pakar Forensik Hospital Serdang, Dr Emizam Mohamadon, mengadakan perjumpaan bersama bapa dan ibu kepada mendiang seorang remaja lelaki yang meninggal dunia secara mengejut dalam komuniti pada 16 Januari lalu.

“Dalam perjumpaan selama 30 minit di KKM itu, saya bersama Ketua Pengarah Kesihatan dan Dr Emizam memberikan penerangan berhubung perkembangan terkini siasatan ke atas punca kematian mangsa dan juga perancangan serta komitmen KKM untuk mengenal pasti punca kematian mendiang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Khairy berkata, beliau sendiri menyatakan komitmen untuk memastikan perkara itu disusuli dengan segera.

Beliau berkata, semua perkara itu dimaklumkan kepada ibu bapa mendiang dan mereka memahami penerangan yang diberikan serta bersetuju dengan langkah-langkah yang akan diambil bagi mengenal pasti punca kematian remaja itu.

Pada masa sama, Khairy turut menyampaikan rasa simpatinya dan warga KKM serta ucapan takziah kepada keluarga mendiang atas pemergian beliau.

“Perkembangan siasatan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan saya ingin memohon masyarakat untuk menghormati privasi dan perasaan keluarga mendiang.

“Pada masa yang sama, saya juga memohon agar masyarakat tidak menyebarkan maklumat palsu mengenai kes kematian ini,” katanya.

Pada sidang media mingguannya semalam, Khairy memaklumkan beliau akan bertemu dengan ibu bapa seorang budak lelaki berusia 13 tahun yang dikatakan meninggal dunia selepas pengambilan vaksin COVID-19 pada Januari lalu, di pejabatnya hari ini.

Media sebelum ini melaporkan ibu bapa kepada remaja itu, dalam satu sidang media, menggesa pihak berkaitan untuk menjelaskan kematian mangsa yang berlaku beberapa minggu selepas mengambil vaksin.

Kedua-dua pasangan itu berkata mereka terkejut apabila punca kematian satu-satunya anak lelaki mereka, masih belum diketahui walaupun bedah siasat sudah dijalankan.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts