fbpx

‘TH mungkin kembali sertai sektor yang dilepaskan kepada UJSB’ – Idris

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) tidak menolak kemungkinan melabur semula dalam aset dan pelaburan yang kini berada dibawah Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) dan tidak terhad kepada hotel-hotel yang sudah dipindahmilik saja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, berkata kajian dan penelitian akan dibuat TH, sekiranya ia selari dengan alokasi aset strategik dan mengambil kira penilaian unsur-unsur komersil dan pulangan keuntungan untuk memelihara kepentingan TH dan seterusnya pendeposit.

“TH sentiasa memerhati dan menilai peluang-peluang pelaburan di dalam dan luar negara berdasarkan risiko yang berpatutan.

“Penelitian ini akan mengambil kira peluang pelaburan di dalam sektor-sektor yang berpotensi mencatatkan keuntungan dan memberi nilai tambah terhadap pendeposit TH,” katanya dalam jawapan lisan menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) di Dewan Rakyat.

Idris berkata, TH akan meneroka dan menilai peluang pelaburan selain daripada aset yang berada dibawah UJSB, iaitu aset-aset dan peluang pelaburan di pasaran, tertakluk kepada pelaburan berdaya maju dan memberi pulangan yang baik untuk manfaat pendeposit.

Abdul Latiff bertanyakan sama ada TH berhasrat mendapatkan semula hotel-hotelnya yang dahulu dipindah milik kepada UJSB, memandangkan sektor pelancongan tempatan telah kembali rancak dan sering kali hotel-hotel ini merekodkan kadar tempahan yang tinggi.

Isu membabitkan SPV dalam TH sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana ia didakwa menggadaikan banyak aset bernilai milik TH, yang didakwa kerajaan terdahulu kononnya mencatatkan kerugian.

Ini termasuk empat hotel di lokasi strategik yang dipindah milik, selain lebih 6,000 hektar ladang kelapa sawit milik anak syarikat TH kerana didakwa komoditi itu tiada keuntungan.

Pemindahan itu juga sebelum ini membangkitkan kemarahan umat Islam apabila SPV itu dikendalikan UJSB yang diwujudkan khusus dan diuruskan pula Prokhas Sdn Bhd.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts