fbpx

Kurangkan kebergantungan terhadap RT-PCR – Khairy

PUTRAJAYA: Orang ramai perlu mengurangkan kebergantungan terhadap saringan ujian RT-PCR, ketika negara kini berada dalam fasa peralihan menuju endemik.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ia berikutan ujian RTK Antigen (RTK-Ag) sudah memadai untuk pengesanan jangkitan COVID-19 dan lebih murah serta mudah didapati di pasaran.

Beliau berkata, pakar juga mengesahkan ujian saringan RTK-Ag memadai untuk mengesan kes positif yang mempunyai tahap kebolehjangkitan tinggi.

Katanya, penggunaan ujian RT-PCR pula sangat sensitif sehingga masih memberikan keputusan positif walaupun individu terbabit sudah pulih daripada jangkitan COVID-19.

“Keduanya, keputusan Rt-PCR tidak pantas dan secepat ujian RTK-Ag yang hanya perlu menunggu 15 minit untuk mendapatkan jawapan sama ada kita dijangkiti atau sebaliknya.

“Dalam situasi sekarang dengan varian Omicron yang cepat dan pantas merebak, ujian RTK-Ag lebih berkesan kerana tidak perlu menunggu di antara 24 jam hingga 48 jam untuk mengetahui kita positif atau tidak.

“Lebih cepat untuk kita kesan, lebih cepat kita mengasingkan diri jika positif. Lebih baik jika 1,000 individu membuat ujian RTK-Ag daripada 10 orang yang membuat ujian RT-PCR,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.

Selain itu, Khairy turut mengingatkan orang awam untuk terus menerima keputusan positif pada ujian RTK-Ag dan menganggap mereka sudah dijangkiti tanpa perlu membuat ujian pengesahan dengan menggunakan RT-PCR.

Beliau berkata, sebaik mendapat keputusan positif menggunakan ujian RTK-Ag, seseorang itu perlu terus menjalani isolasi.

Sementara itu, Khairy berkata, beliau sudah mengarahkan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) untuk bertindak terhadap kit ujian RTK-Ag yang didapati tidak cukup tepat untuk memberikan keputusan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan terus memantau kit ujian kendiri yang ada di pasaran untuk menjamin kualitinya.

Pada masa sama, beliau berkata, ujian RT-PCR masih lagi digunakan untuk tujuan ke luar negara atau bagi pengembara memasuki negara ini.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts