fbpx

Azizuhasni rancang bersara selepas Olimpik Paris 2024

Foto: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang merancang untuk bersara selepas tamat Sukan Olimpik Paris 2024.

Aksi di Paris bakal menyaksikan pelumba berusia 34 tahun itu membuat penampilan kelima di temasya berprestij berkenaan dengan pencapaian terbaiknya sebelum ini adalah memenangi pingat gangsa dan perak dalam acara keirin masing-masing pada Olimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020.

“Jadi, Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun ini akan menjadi penampilan terakhir saya,. Saya ingin memberikan sepenuh perhatian untuk memastikan saya dapat beraksi dengan cemerlang dan sekali lagi mencipat sejarah buat sukan tanah air kita,” katanya.

Azizulhasni yang diberi julukan sebagai The Pocket Rocketman berkata demikian dalam rakaman video ucapannya selepas dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019/2020 yang diadakan, malam tadi.

Atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu mengatasi empat lagi pencabar lain bagi anugerah berkenaan iaitu atlet bina badan, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah, Khairul Anuar Mohamad (memanah), Tan Chye Chern (tenpin boling) dan Wong Weng Son (wushu).

Sebagai rekod, ini adalah kali keempat Azizulhasni memenangi gelaran Olahragawan Kebangsaan selepas turut meraihnya pada 2009, 2010 dan 2017.

Kejayaan itu meletakkan namanya sebaris dengan legenda sukan tanah air, Datuk Rashid Sidek dan Datuk Lee Chong Wei yang turut memenangi anugerah berkenaan sebanyak empat kali.

Bekas juara dunia itu memohon maaf kerana tidak dapat pulang bagi menghadiri majlis berkenaan kerana sedang menjalani latihan intensif di Melboourne, Australia.

“Untuk pengetahuan semua, saya kini sedang giat menjalani latihan persiapan untuk Sukan Komanwel yang hanya berbaki 128 hari lagi dan Sukan Asia yang berbaki 170 hari lagi,” katanya.

Sukan Komanwel Birmingham 2022 akan berlangsung bermula 28 Julai hingga 8 Ogos manakala Sukan Asia Hangzhou 2022 akan membuka tirai saingannya pada 10 hingga 25 September depan.

Dalam pada itu, Azizulhasni turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan sepanjang kerjanya. Antaranya Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts