fbpx

Badi tujuh pengendali Harimau Malaya hantui Pan Gon

KUALA LUMPUR: Mampukah pengendali baharu skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon memecah ‘badi’ yang selama ini menghantui mana-mana jurulatih yang mengendalikan skuad kebangsaan buat kali pertama?

Mana tidaknya, selepas Bertalan Bicskei menang aksi pertamanya bersama skuad kebangsaan ketika menentang Thailand pada 2004, tujuh pengendali selepas itu dilihat gagal untuk memenangi perlawanan pertama yang dikendalikan mereka.

Bermula dengan Norizan Bakar, dia tewas aksi sulungnya ketika membawa anak buahnya berdepan New Zealand yang berakhir dengan kekalahan 1-0.

Selepas itu, B Sathianathan yang membimbing pasukannya bagi Aksi Kelayakan Piala Dunia 2010, skuad negara tumbang 4-1 di tangan Bahrain pada 2007.

Datuk K Rajagobal yang kembali menguruskan skuad kebangsaan boleh dianggap tidak bernasib baik kerana meskipun menang 4-0 menentang Zimbabwe pada aksi sulungnya namun perlawanan itu tidak dikira sebagai aksi kelas ‘A’ kerana bukan skuad kebangsaan Zimbabwe yang beraksi sebaliknya hanya pasukan berstatus kelab.

Aksi antarabangsa pertama buat Rajagobal selepas kembali sebagai jurulatih adalah berdepan Kenya yang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, begitu juga dengan Datuk Ong Kim Swee selepas itu yang juga terikat tanpa jaringan menentang Filipina pada 2014.

Seorang lagi bekas pengendali skuad kebangsaan, Dollah Salleh pula berdepan detik memeritkan – tewas 4-1 pada aksi persahabatan menentang Tajikistan pada 2014.

Kim Swee yang sekali lagi mengendalikan skuad kebangsaan turut kempunan untuk menang aksi sulungnya buat kali kedua apabila ketinggalan 2-1 di tangan Arab Saudi sebelum dihentikan pada minit ke-88 susulan kekecohan yang dicetuskan penyokong skuad kebangsaan.

Lebih malang, Arab Saudi diberikan kemenangan 3-0 susulan insiden yang berlaku pada Kelayakan Piala Dunia 2018/ Piala Asia 2019 itu.

Selepas itu, skuad kebangsaan dikendalikan jurulatih asing, Nelo Vingada namun pengendali yang diberi julukan ‘The Professor’ itu tumbang 2-1 di tangan Lubnan pada aksi pertamanya di Kelayakan Piala Asia 2019.

Tan Cheng Hoe juga gagal memecahkan ‘badi’ perlawanan pertama apabila anak buahnya terikat 2-2 menentang Mongolia pada aksi persahabatan yang berlangsung empat tahun lalu.

Namun, statistik ini tidak menggambarkan apa-apa kerana apa yang dicetuskan di atas padang oleh anak buah Pan Gon akan menjadi penentunya.

Sama ada Pan Gon dapat menghentikan ‘kitaran’ ini atau pengendali dari Korea Selatan itu turut meletakkan namanya dalam statistik seperti pengendali terdahulu, sama-sama kita tunggu malam ini.

Apa yang pasti adalah aksi pertama Pan Gon ini perlu menjadi medan terbaik untuk dia kembali memulihkan kepercayaan penyokong bola sepak tempatan terhadap skuad negara.

Selepas berdepan kempen memilukan pada Piala AFF 2020 di Singapura, tiga aksi persahabatan di negara sama itu sepatutnya menjadi ‘gula-gula’ terbaik untuk Pan Gon memikat kembali hati penyokong.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews