fbpx

Dasar Kaunseling Negara dilaksana Mac 2023

Foto: BERNAMA

BANGI: Dasar Kaunseling Negara, yang diperkenalkan bagi menangani isu kesihatan mental dalam masyarakat dengan pemerkasaan perkhidmatan kaunseling, akan dilaksanakan pada Mac 2023.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, berkata cadangan penggubalan Dasar Kaunseling Negara sudah diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bil 1 Tahun 2021 pada 19 April 2021.

Katanya, kerja penggubalan Dasar Kaunseling Negara dan Pelan Tindakan Komprehensif Perkhidmatan Kaunseling di Malaysia sudah dimulakan selepas mendapat kelulusan kabinet pada 28 April 2021.

“Bagi tujuan penggubalan dasar ini, sesi libat urus diadakan bersama pakar dalam bidang kaunseling, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi (IPT), agensi swasta, pemegang taruh dan kaunselor berdaftar di pelbagai perkhidmatan untuk mendapatkan input serta penghasilan resolusi.

“Dasar Kaunseling Negara ini akan dilaksanakan melalui pelantikan perunding dan dijangka dapat disediakan pada Mac 2023,” katanya ketika berucap pada Simposium Kaunseling Kebangsaan 2022, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA International), Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin.

Pada majlis itu, Rina turut menyampaikan Anugerah Hearts of Gold kepada Tokoh Kaunselor Negara, Tan Sri Profesor Dr Nordin Kardi; Tokoh Pengurus Sumber Manusia Aplikask Psikologi Kaunseling, Datu Dr Sabariah Putit dan Tokoh Penjawat Awam Aktif Dalam Strategi Mendepani Kesihatan Mental Negara, Dr Norashikin Ibrahim.

Mengulas lanjut, Rina berkata, sehingga Disember 2021, seramai 9,802 kaunselor sudah didaftarkan untuk memberi khidmat kepada masyarakat yang memerlukan.

Selain itu, katanya, Program Perkembangan Profesional Berterusan turut diperkenalkan sebagai sebahagian usaha kementerian melalui Lembaga Kaunselor Malaysia untuk mempertingkatkan kompetensi kaunselor.

“Program ini bagi memastikan kaunselor berdaftar membekalkan diri mereka dengan pengetahuan, kemahiran, nilai serta amalan profesional melalui program latihan yang terancang dan sistematik. Ini bagi memastikan kaunselor berdaftar sentiasa dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik dan profesional.

“Program Perkembangan Profesional Berterusan ini disyaratkan kepada semua kaunselor berdaftar yang berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor.

“Selain itu seseorang kaunselor berdaftar perlu memenuhi jumlah mata minimum Program Perkembangan Profesional Berterusan, yang perlu dikumpul dalam tempoh masa dua tahun sebagai syarat wajib bagi membolehkan Perakuan Amalan Dwitahunan diperbaharui,” katanya.

Rina berkata, pada masa sama, Lembaga Kaunselor sudah mendaftarkan sukarelawan kaunselor berdaftar bagi membantu masyarakat dalam menangani isu psikososial.

Katanya, sukarelawan kaunselor berdaftar itu adalah satu entiti formal di bawah KPWKM dalam usaha membantu masyarakat dan menyediakan bantuan profesional kepada masyarakat yang memerlukan.

“Selain membantu melaksanakan aktiviti seperti Talian Kasih 15999 Khas COVID-19, sukarelawan kaunselor berdaftar juga menyediakan khidmat psikososial di peringkat komuniti dan bantuan psikologi ketika berlaku bencana bagi melaksanakan sokongan bantu mula psikologi (Psychological First Aid) kepada mangsa dan waris yang terkesan.

“Bermula 1 Januari 2021, Lembaga Kaunselor sudah mendaftarkan seramai 1,500 orang sukarelawan kaunselor berdaftar di seluruh negara,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts