fbpx

Pelaburan pencegahan, kawalan, rawatan perlu tamatkan tibi

Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA: Keutamaan perlu diberikan terhadap pelaburan bagi pencegahan, kawalan dan rawatan jangkitan tibi terpendam, tibi aktif dan kerintangan terhadap antibiotik anti-tibi bagi memastikan Malaysia mencapai sasaran Strategi Pengakhiran Tibi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu menamatkan epidemik Tibi menjelang 2035.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata sambutan Hari Tibi Sedunia 2022 bertemakan “Invest to End TB. Save lives” membawa maksud amat penting untuk ada pelaburan bagi memastikan pesakit mendapat akses kepada diagnosis dan rawatan tibi kerana ia menyelamatkan pesakit daripada mendapat komplikasi yang tidak diingini seperti kematian akibat penyakit itu.

Beliau berkata, WHO menganggarkan sejumlah 9.9 juta kes tibi di seluruh dunia dengan jumlah kematian sebanyak 1.5 juta pada 2020.

Katanya, jumlah kes tibi yang dilaporkan di Malaysia pada 2021 adalah 21,727 kes (kadar insiden 63.5 setiap 100,000 penduduk) iaitu penurunan sebanyak 1,917 kes (8.1 peratus) berbanding 23, 644 kes (kadar insiden 72.4 setiap 100,000 penduduk) pada 2020.

Khairy berkata, jumlah kematian tibi adalah 2,288, menurun sebanyak 32 kematian (1.4 peratus) pada 2021 berbanding tahun 2020 dengan kadar kematian 6.6setiap 100,000 penduduk.

“Hari Tibi Sedunia disambut di seluruh dunia pada 24 Mac setiap tahun bagi memperingati sejarah penemuan bakteria Mycobacterium tuberculosis oleh Dr Robert Koch pada 24 Mac 1882.

“Tujuan sambutan ini dilakukan adalah untuk meningkatkan kesedaran, komitmen serta sokongan terhadap usaha-usaha pencegahan dan kawalan penyakit Tibi yang dilakukan di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Khairy berkata, penyakit tibi adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis dan merebak melalui udara.

Katanya, tanda-tanda penyakit tibi adalah batuk yang berpanjangan iaitu melebihi dua minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah.

Beliau berkata, individu yang bergejala perlu menjalani pemeriksaan dan rawatan awal di klinik-klinik kesihatan dan hospital yang berhampiran.

Selain itu, beliau berkata, rawatan bagi penyakit Tibi adalah gabungan empatjenis antibiotik iaitu Ethambutol, Isoniazid, Rifampicin dan Pyrazinamide (EHRZ) pada fasa intensif selama dua bulan dan kemudian diikuti dua jenis antibiotik iaitu Isoniazid dan Rifampicin (HR) pada fasa sambungan selama empat bulan.

“Pesakit Tibi boleh sembuh jika mematuhi jadual rawatan yang ditetapkan. Sebaliknya pesakit yang tidak mematuhi rawatan yang ditetapkan mempunyai risiko mendapat semula jangkitan.

“Aspek pematuhan kepada rawatan adalah amat penting bagi memastikan pesakit tibi sembuh sepenuhnya,” katanya.

Justeru, beliau berkata, sokongan ahli keluarga, rakan sekerja, majikan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) kepada pesakit Tibi juga amat penting bagi memastikan pesakit berjaya sembuh dengan rawatan.

Pada masa sama, Khairy berkata, salah faham berkaitan penyakit tibi dan stigma terhadap pesakit perlu juga dihentikan manakala komitmen dari semua pihak amat diperlukan bagi mencapai hasrat Malaysia bebas tibi menjelang 2035.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts