fbpx

MySTEP: 0.4 peratus kuota khas OKU sudah diisi

Foto: MALAY MAIL

KUALA LUMPUR: Sebanyak 0.4 peratus daripada jumlah kuota khas diperuntukkan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) sudah diisi, setakat akhir Februari lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerajaan telah mengumumkan kuota khas sekurang-kurangnya satu peratus peluang pekerjaan bagi OKU melalui program MySTEP 2022, daripada sasaran keseluruhan 600,000 peluang pekerjaan tahun ini.

“Lebih RM40 juta sudah diperuntukkan melalui pelbagai inisiatif, termasuk penambahbaikan infrastruktur dan menaik taraf bangunan kerajaan agar lebih mesra OKU.

“Pelaksanaan kuota khas OKU ini adalah bergantung pada jumlah pengambilan pekerja yang dibuat kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengikut ketetapan prosedur pengambilan masing-masing,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Ras Adiba Radzi berhubung golongan OKU yang telah mendapat manfaat melalui program MySTEP.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan menyeru semua pihak supaya terus bekerjasama dalam menyediakan peluang pekerjaan yang bersesuaian melalui kuota khas MySTEP kepada golongan rentan dan OKU.

“Kerajaan berharap golongan ini akan terus menyokong inisiatif kerajaan dengan mengambil bahagian serta menyertai MySTEP sama ada dalam sektor awam atau GLC,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul memaklumkan setakat 15 Mac lalu, program MySTEP secara keseluruhan berjaya menempatkan hampir 11,000 pekerja di pelbagai kementerian dan GLC, dengan 90 peratus daripadanya ditempatkan dalam sektor awam.

Bagi Program Penempatan Latihan Kerjaya Graduan Bersama Industri (PROTÉGÉ) pula, seramai 507 peserta berjaya ditempatkan, setakat 28 Februari lalu. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts