fbpx

COVID-19: 12,380 kes baharu, trend jangkitan menurun

PUTRAJAYA: Kes harian COVID-19 di negara ini terus menunjukkan trend penurunan dengan 12,380 kes baharu dilaporkan semalam berbanding 14,692 kes yang direkodkan kelmarin.

Menerusi data yang dikongsikan dalam laman sesawang COVIDNOW, perkembangan itu menjadikan sehingga kini terdapat sebanyak 4,246,467 kes COVID-19 di negara ini.

Kes baharu yang dicatatkan semalam itu membabitkan 11,918 kes penularan tempatan dengan 462 kes adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Negeri paling tinggi yang melaporkan kes baharu adalah Selangor dengan 7,613 kes, diikuti Kuala Lumpur iaitu 909 kes, Pulau Pinang (572), Johor (510), Perak (491), Negeri Sembilan (412), Sarawak (351) dan Kedah (330).

Selain itu ialah Pahang dengan 287 kes dilaporkan semalam, diikuti Terengganu (235), Melaka (219), Kelantan (184), Sabah (167), Putrajaya (52), Perlis (26) dan Labuan (22).

Secara keseluruhannya, sehingga kini terdapat 97.7 peratus bersamaan 188,534 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah manakala 1.9 peratus atau 3,682 kes pula sedang mendapatkan rawatan di hospital.

Sebanyak 478 kes atau 0.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes pula kini berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), Unit Rawatan Rapi (ICU) (96 kes) dan ICU serta memerlukan alat bantuan pernafasan (157 kes).

Sementara itu, memperincikan mengenai kes baharu semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 61.05 peratus atau 7,559 kes adalah membabitkan pesakit COVID-19 dalam kategori satu iaitu tidak mempunyai gejala.

“Selain itu 38.26 peratus (4,736 kes) adalah pesakit kategori dua, kategori lima (33 kes), kategori tiga (32 kes) dan kategori empat (20 kes). Secara keseluruhannya, daripada jumlah 85 kes COVID-19 dalam kategori tiga hingga lima itu, sebanyak 57 kes membabitkan individu berusia 60 tahun keatas.

“Ia diikuti mempunyai komorbid (49 kes), sudah menerima dua dos vaksin namun tiada dos penggalak (33 kes), sudah menerima dos penggalak (28 kes) dan tidak divaksin atau belum lengkap vaksin (24 kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan tiada pertambahan kluster baharu yang dikesan di negara ini dan jumlah kluster yang masih aktif kekal kepada 181 kluster.

Bagi kapasiti katil ICU di negara ini, Dr Noor Hisham berkata terdapat dua negeri yang mencatatkan penggunaan katil melebihi 50 peratus iaitu Kuala Lumpur kini mencecah 60 peratus serta Selangor dengan penggunaan 50 peratus.

Katil bukan ICU pula, sehingga semalam terdapat dua negeri mencatatkan penggunaan melebihi 50 peratus iaitu di Putrajaya dengan kegunaan kini sebanyak 66 peratus serta Selangor sebanyak 55 peratus.

Mengenai kes sembuh yang dilaporkan semalam, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 20,635 kes sembuh dicatatkan sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan individu pulih sepenuhnya daripada jangkitan berkenaan adalah 4,018,421 kes.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts