fbpx

Buli: KKM fahami jangkaan generasi baharu di lapangan

KHAIRY Jamaluddin sewaktu berucap merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Rembau di Dewan Perpatih, PPD Rembau, di Rembau hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

REMBAU: Kementerian Kesihatan akan sentiasa mengikuti perubahan zaman bagi memahami generasi baharu warga kerja kementerian berkenaan yang mempunyai jangkaan berbeza membabitkan tekanan kerja.

Menterinya Khairy Jamaluddin menjelaskan, ramai doktor senior yang melalui budaya kerja sedia ada memaklumkan apa yang mereka jalani ketika ini adalah sesuatu yang ‘biasa’.

“Tetapi kita kena faham, yang pertamanya apa yang kita buat dahulu bukan semuanya betul dan tekanan kerja hari ini berbeza dengan tekanan kerja dahulu.

“Jadi kena berubah dengan peredaran zaman dan memahami generasi baharu ini mempunyai jangkaan (expectation) yang berbeza.

POSITIF

“Saya agak positif dengan laporan Pasukan Petugas Khas bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) dan laporan itu adalah adil teliti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Rembau di Dewan Perpatih, PPD Rembau, di sini, hari ini.

Semalam Pengerusi HWCITF, Prof. Datuk Dr. Siti Hamisah Tapsir mendedahkan kira-kira 20 peratus daripada responden dalam kalangan staf Kementerian Kesihatan mengakui memang wujud budaya negatif termasuk gejala buli ketika bertugas.

Malahan insiden burnout atau keletihan yang teruk selain trend buli dan budaya kerja kurang sihat memang berlaku dalam sistem persekitaran kementerian berkenaan selama ini.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menambah, tekanan kerja sememangnya ada bertujuan bagi melatih sama ada membabitkan doktor mahupun jururawat, namun tidak wajar jika ia sehingga berlakunya pembulian, penghinaan dan juga gangguan sama ada lisan, mental ataupun fizikal.

“Respon awal saya terhadap HWCITF ialah Kementerian Kesihatan akan membawa satu transformasi budaya baharu tempat kerja dan saya akan menggariskan prinsip dan juga nilai budaya kerja yang baharu ini. 

“Garis panduan, nilai dan etika kerja penting tetapi yang lebih penting adalah bagaimana garis panduan diterjemahkan di lapangan.

“Contohnya cara kerja on call (tunggu sedia) telah ditukar kepada fleksi, maksudnya pegawai perubatan ada syif tetapi bila pasukan semak terhadap pematuhan syif, memang berlaku kes di mana doktor bekerja lebih masa.

“Ini yang mereka merungut burnout, letih, anxiety (kebimbangan) sampai ada yang sudah berhenti kerja sebab tidak boleh tahan lagi dan ini menjadi perhatian kementerian,” katanya.





Sumber: UTUSAN

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts