fbpx

Jabatan Perikanan lancar kempen Laut Bebas Plastik

KUANTAN: Jabatan Perikanan Malaysia melancarkan kempen ‘Laut Bebas Plastik’ dalam usaha memastikan perairan negara ini bebas daripada bahan tersebut yang mampu menjejaskan jumlah dan kualiti tangkapan hasil laut nelayan.
Ketua Pengarahnya Mohd Sufian Sulaiman berkata usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar, pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan nelayan.

“Kita perlu menyelamatkan hidupan laut di perairan negara daripada memakan plastik yang dibuang ke laut kerana haiwan ini tidak hanya makan plastik besar tetapi juga mikroplastik.

“Apabila mikroplastik dihadam usus hidupan laut, rantaian terakhir ialah manusia yang akan memakannya yang dikhuatiri membawa kesan buruk kepada kesihatan untuk jangka masa panjang,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen itu di Pantai Sepat di sini hari ini.

Pada kempen itu, lebih 600 peserta daripada pelbagai agensi mengadakan aktviti berkaitan seperti gotong-royong membersihkan pantai dan penganjuran forum ‘Laut Bebas Plastik’ bagi memberi kesedaran berkaitan bahaya plastik kepada hidupan laut.

Mohd Sufian berkata, mereka juga akan merekodkan jumlah dan berat plastik yang dikumpul menerusi kempen yang dijalankan seluruh negara supaya data tepat berkaitan usaha pemuliharaan ekosistem laut dapat diketahui.

Beliau berkata data itu boleh dijadikan rujukan dalam usaha mencari pendekatan lebih berkesan bagi mengatasi masalah berkaitan pembuangan plastik di laut pada masa hadapan.

“Buat masa ini kita ada hampir 20,000 nelayan di seluruh negara yang dapat membantu kita mengumpul plastik yang dibuang di perairan negara.

“Kita juga akan pastikan mereka ini tidak membuang atau meninggalkan plastik di laut termasuk pukat dan tali yang digunakan ketika menangkap ikan kerana ini juga mengganggu ekosistem,” katanya.– BERNAMA




Sumber: Astro AWANI

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts