fbpx

92 peratus kes hospital KKM selesai

Petugas kesihatan memakai kelengkapan alat perlindungan diri (PPE) ketika memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi Hybrid Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang pada 11 Julai 2021. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyelesaikan 92 peratus daripada 57,355 kes tertunggak yang dilaporkan di hospital kerajaan pada September 2021.

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata ia membabitkan 53,785 kes berkaitan prosedur pembedahan dan 3,570 kes berkaitan prosedur bukan pembedahan.

Beliau berkata, kes prosedur pembedahan meliputi pembedahan am, pembedahan neuro, pembedahan paediatrik, pembedahan plastik dan rekonstruktif, pembedahan kardiotorasik, pembedahan vaskular, urologi, ginekologi, ortopedik, oftalmologi dan otorinolaringologi.

Kes prosedur bukan pembedahan pula, katanya, termasuklah ujian tidur, ujian fungsi paru-paru, prosedur sel stem, radioterapi dan simulasi topografi berkomputer (CT) serta angiografi koronari.

“Usaha menangani kes tertunggak itu dilakukan dengan beberapa inisiatif KKM termasuk penyumberluaran pesakit KKM ke hospital swasta dan pembukaan semula dewan bedah elektif di hospital KKM secara berperingkat bermula pada Oktober 2021.

“Inisiatif pembedahan elektif hari Sabtu antara jam 8 pagi hingga 5 petang di hospital berpakar di seluruh negara bermula pada Disember 2021 serta melaksanakan pembedahan secara besar-besaran.

“Ia termasuklah Inisiatif Pembedahan Urologi Berskala Besar (MUSI) di Hospital Selayang pada Februari lalu; Inisiatif Pembedahan Katarak Berskala Besar di Hospital Tawau pada Mac dan Inisiatif Karnival Pembedahan Tawau di Hospital Tawau pada Jun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Khairy berkata, menerusi pendekatan inisiatif berkenaan, sehingga 31 Julai lalu, sebanyak 52,522 prosedur bagi kes tertunggak dapat dilaksanakan iaitu membabitkan 48,952 kes berkaitan prosedur pembedahan dan 3,570 kes berkaitan prosedur bukan pembedahan.

“Ini bermakna, 92 peratus daripada jumlah kes tertunggak yang dicatatkan pada September tahun lalu berjaya diselesaikan.

“Bagaimanapun, jumlah kes yang masih tertunggak sehingga 31 Julai adalah sebanyak 4,833 kes dan hanya membabitkan prosedur pembedahan daripada disiplin pembedahan paediatrik dan pembedahan kardiotorasik,” katanya.

Beliau berkata, KKM akan terus berusaha mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan kepada seluruh Keluarga Malaysia dan komited menyelesaikan baki 4,833 kes yang masih tertunggak dalam tempoh terdekat.

Jelas beliau, pandemik COVID-19 memberi impak terhadap sistem dan perkhidmatan kesihatan di seluruh negara dengan menyaksikan kes bukan COVID-19 terutamanya kes pembedahan elektif turut terkesan dan terpaksa ditunda semasa kemuncak pandemik.




Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Petanda Verstappen bersara?

London: Ayah Max Verstappen berkata, anaknya mungkin bersara daripada Formula Satu (F1) selepas dia berjaya ‘mencapai segalanya’ setakat ini. Pelumba Belanda itu mengharungi musim cemerlang

Read More »