fbpx

Raja Permaisuri Agong berkenan lawat Gardens by the Bay

Foto: BERNAMA

SINGAPURA: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengadakan lawatan di Gardens by the Bay, di sini malam ini.

Lawatan itu merupakan antara atur cara dalam lawatan negara ke republik berkenaan selama empat hari yang bermula hari ini hingga 28 Okt. Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong selamat tiba di Singapura pada kira-kira 10.50 pagi.

Tunku Azizah berangkat tiba di tempat ikonik itu pada kira-kira 8 malam dan turut diiringi anakanda Seri Paduka, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka disambut pihak Gardens by the Bay iaitu Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lee Kok Fatt; Pengarah Kanan (Operasi Tarikan) Addison Goh dan Penolong Pengarah Kanan (Operasi Konservatori) Marziah Omar.

Raja Permaisuri Agong berkenan meluangkan masa hampir dua jam di beberapa tempat tarikan pengunjung di Gardens by the Bay antaranya Flower Dome yang dipenuhi pelbagai spesies bunga dan tumbuhan dari bahagian barat Afrika Selatan, Australia Barat, dataran tinggi pantai di Amerika Selatan, pantai barat Amerika Utara dan Lembangan Mediterranean.

Tunku Azizah turut berkenan beramah mesra dengan rakyat Malaysia serta bergambar dengan pelancong antarabangsa yang mengunjungi taman yang terletak di tengah bandar Singapura itu.

Gardens by the Bay merupakan sebuah taman dengan pameran hortikultur yang mempersembahkan tanaman tumbuhan melalui cara tersendiri kepada pelancong tempatan serta antarabangsa.

Taman negara yang dibangunkan pada 2007 itu juga bertujuan untuk mendidik pengunjung berkenaan tumbuhan yang jarang diketahui umum seperti spesies tumbuhan dalam iklim sejuk dan sederhana di hutan tropika.

Gardens by the Bay pernah memperoleh pelbagai anugerah antaranya World Building of the Year pada 2012, Rumah Hijau Terbesar (Flower Dome) menerusi Guinness World Records pada 2015 dan Sijil Kecemerlangan TripAdvisor pada 2016.

Sumber: Astro AWANI

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews