fbpx

Kes demam denggi meningkat

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan peningkatan sebanyak 137 kes atau 9.3 peratus kes demam denggi pada Minggu Epidemiologi ke-42 2022 (ME42/2022) berbanding minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 1,614 kes demam denggi dilaporkan sepanjang tempoh bermula 16 hingga 22 Oktober lalu, berbanding 1,477 kes pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata, KKM juga merekodkan satu kes kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME42/2022.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 48,109 kes berbanding 21,308 kes bagi tempoh sama pada 2021 iaitu peningkatan sebanyak 26,801 kes atau 125.8 peratus.

“Kematian akibat komplikasi denggi pula dilaporkan sebanyak 29 kes, berbanding 16 kematian bagi tempoh sama pada tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 13 kematian atau 81.3 peratus,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga merekodkan sebanyak 51 lokaliti titik panas (hotspot) pada ME42/2022 berbanding 53 lokaliti titik panas pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata, 30 lokaliti titik panas itu dikesan di Selangor; 11 lokaliti titik panas di Sabah; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (lapan) dan masing-masing satu lokaliti titik panas di Kedah serta Melaka.

Sementara itu, beliau berkata, pemantauan kes chikungunya pula merekodkan sebanyak tujuh kes pada ME42/2022 dengan tiga kes dari Pulau Pinang; dua kes dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta masing-masing satu kes dari Selangor serta Melaka.

“Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah sebanyak 669 kes.

“Bagi pemantauan jangkitan zika, sebanyak 1,619 sampel darah dan 16 sampel urin sudah melalui saringan

dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya.

Dr Noor Hisham turut mengingatkan orang ramai untuk memeriksa dan memusnahkan tempat berpotensi berlaku pembiakan nyamuk Aedes.

Beliau berkata, setiap penduduk disaran melakukan pemeriksaan dan pemusnahan tempat berpotensi pembiakan di dalam dan di luar rumah sekurang-kurangnya selama 10 minit setiap minggu.

“Keadaan hujan diselang-seli dengan cuaca panas yang berlaku di negara kita mutakhir ini adalah keadaan yang amat kondusif untuk nyamuk Aedes membiak.

“Pastikan kawasan berhampiran dengan kediaman seperti lorong belakang rumah, kawasan kebun tanaman, tanah lot kosong dan taman rekreasi bebas daripada bekas berpotensi yang boleh menjadi tempat pembiakan Aedes.

“Simpan bekas yang masih diperlukan di tempat kering serta buang bekas yang tidak diperlukan secara berhemah. Jangan alpa, demam denggi boleh meragut nyawa. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya, dan zika,” katanya.

Summber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Petanda Verstappen bersara?

London: Ayah Max Verstappen berkata, anaknya mungkin bersara daripada Formula Satu (F1) selepas dia berjaya ‘mencapai segalanya’ setakat ini. Pelumba Belanda itu mengharungi musim cemerlang

Read More »