fbpx

Lipis dilanda banjir, 19 mangsa dipindahkan ke PPS

LIPIS: Hujan lebat berterusan lebih tiga jam menyebabkan sekitar kawasan Mukim Telang di sini dilanda banjir kira-kira jam 1 pagi tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Lipis, Kapten(PA) Mohd Nor Azhar Yusof berkata, kejadian tersebut menyebabkan 19 mangsa dari lapan keluarga di Kampung Lubuk Kulit dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kulit.

Menurutnya, mangsa banjir merangkumi empat lelaki dewasa, wanita (4), kanak-kanak lelaki (3), kanak-kanak perempuan (3) dan warga emas (6).

“Kejadian banjir tersebut dipercayai berpunca daripada hujan lebat tanpa henti sejak malam tadi.

“Difahamkan juga terdapat hujan di kawasan Tersang yang menyebabkan limpahan air di Sungai Telang dan anak-anak sungai di kawasan Kampung Lubuk Kulit.

“Walau bagaimanapun tiada kecederaan dan kemalangan yang dilaporkan setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, antara agensi yang terlibat membantu mangsa banjir ialah Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah dan Tanah Lipis, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penduduk setempat.

Jelasnya, pihak APM bersama pasukan keselamatan lain turut membuat pemantauan di kawasan banjir serta melakukan pemantauan paras air di lokasi kejadian.

Sumber: Astro AWANI

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts