fbpx

Adakah Portugal akan jadi mangsa Maghribi?

DOHA: Adakah Portugal bakal menjadi ‘mangsa’ kepada Maghribi yang seterusnya dalam saingan Piala Dunia 2022 selepas dua pasukan itu bakal berentap di suku akhir di Stadium Al Thumamma, Sabtu ini?

Anak buah Walid Regragui itu melangkah ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama dengan penuh bergaya apabila menyingkirkan juara 2010, Sepanyol 3-0 menerusi sepakan penentuan penalti selepas terikat tanpa jaringan dalam 120 minit.

Kejayaan itu menyaksikan ‘Atlas Lions’ menjadi pasukan keempat dari Afrika mara ke lapan terbaik dan pasukan pertama sejak Ghana melakukannya pada 2010.

Maghribi ketika ini jelas berada dalam prestasi terbaik apabila belum lagi tewas dalam kempen kali ini dengan dua pasukan dari Eropah iaitu naib juara Piala Dunia 2018, Croatia serta ‘generasi emas’ Belgium sudah dikecewakan mereka di peringkat kumpulan.

Portugal bagaimanapun menghantar amaran apabila bangkit daripada kekalahan aksi terakhir peringkat kumpulan di tangan Korea Selatan apabila membelasah Switzerland 6-1 pada aksi pusingan terbaik.

Maghribi dan Portugal memegang rekod pertemuan sama rata di Piala Dunia apabila masing masing menang satu – Maghribi meraih kemenangan 3-1 pada 1986 sebelum Portugal menang tipis 1-0 pada 2018.

Melihat kepada aksi berdepan La Roja, anak buah Fernando Santos perlu berhati-hati kerana Maghribi memiliki cara untuk mengecewakan lawan dengan menekan di garisan tinggi dan tidak memberi banyak ruang.

Sekalipun Sepanyol menguasai bola, Maghribi berjaya menjadikan ‘tiki taka’ sebagai ‘teka teki’ apabila lawan buntu untuk mendapatkan gol sehingga dipaksa bermain sepakan penentuan penalti.

Dengan bintang utama mereka, Cristiano Ronaldo masih ‘kempunan’ untuk meledak gol pertama di pusingan kalah mati Piala Dunia, aksi suku akhir ini mungkin dinantikan Ronaldo selepas direhatkan ketika berdepan Switzerland. – AGENSI

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews