fbpx

Bekalan hasil laut kurang, harga meningkat lebih 30 peratus

JOHOR BAHRU: Bekalan hasil laut yang berkurangan sebanyak 50 peratus berikutan musim tengkujuh menyebabkan harga bahan mentah di bandar raya ini naik sehingga 30 peratus.

Tinjauan di pasar basah di Tampoi, di sini, mendapati ikan dan hasil laut yang dijual peniaga amat berkurangan, malah kebanyakan lot niaga menjual produk laut sejuk beku termasuk yang diimport.

Penjual hasil laut yang mahu dikenali sebagai Aman berkata bekalan hasil laut terutama ikan berkurangan 50 peratus menyebabkan harganya meningkat.

Katanya, antara ikan kesukaan ramai yang tiada bekalan termasuk kembung, selayang, lolong dan selar hijau.

“Sekarang bekalan ikan tempatan tak ada terutamanya kembung, walaupun orang ramai cari. Sejak awal bulan lalu, penjual lebih banyak menjual bekalan ikan sejuk beku yang diimport.

“Ikan kembung yang dijual ketika ini adalah ikan sejuk beku dari luar negara yang dijual RM15 sekilogram (kg). Kalau ada kembung tempatan harganya akan jadi lebih mahal iaitu antara RM18 hingga RM22 sekilo.

“Harga udang pun memang tidak turun dan kini dijual antara RM30 hingga RM38 sekilo mengikut saiz manakala sotong juga naik dan dijual antara RM22 hingga RM30 sekilo.

“Ikan selar hijau pun naik kepada RM22 sekilo berbanding RM16 sebelum ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Media bulan lalu melaporkan bekalan ikan di seluruh negara bakal berkurangan sehingga 50 peratus susulan musim tengkujuh, sekali gus menyebabkan harga hasil laut itu naik sehingga dua kali ganda.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dilaporkan berkata, bagi mengatasi masalah itu, LKIM akan terus menyediakan ikan sejuk beku untuk membantu rakyat.

Katanya, kekurangan stok bekalan ikan akan ditampung dengan ikan sejuk beku, ikan air tawar serta ikan import.

Dalam pada itu, pengguna ditemui memilih untuk terus membeli ikan walaupun berlaku kenaikan harga.

Pengguna, Nor Azura Md Amin, 36, berkata kenaikan harga ikan dan hasil laut walaupun membebankan tetapi ia adalah keperluan untuk hidangan keluarga.

“Harga ikan termasuk kembung, selar kuning dan cencaru memang naik, namun saya pilih beli ikan yang murah berikutan harganya masih dapat ditawar apatah lagi harganya juga bergantung pada saiz ikan.

“Kalau tak beli ikan, takkan pengguna nak makan ayam setiap hari. Harga ayam pun boleh tahan mahal,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts