fbpx

KDN sasar proses 10,000 permohonan kewarganegaraan tahun ini

Foto BERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyasarkan untuk memproses sekurang-kurangnya 10,000 permohonan taraf kewarganegaraan pada tahun ini.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sejak beliau berkhidmat di KDN pada Disember tahun lepas, sebanyak 4,294 permohonan telah diproses dan daripada jumlah itu hampir 67 peratus diluluskan manakala bakinya ditolak.

“Sekarang saya dah buat keputusan terhadap 4,300 dan bakinya tak banyak lagi, dan saya yakin sebelum hujung tahun saya boleh mencapai sehingga 10,000 permohonan,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KDN di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata, antara sebab permohonan ditolak ialah pemohon tidak mendaftarkan perkahwinan semasa memohon kewarganegaraan untuk anak, pemohon tidak mempunyai bukti berada dalam negara ketika memohon, pemohon tidak mempunyai locus standi serta terdapat unsur keraguan dan pencanggahan fakta semasa semakan dibuat.

Justeru, Saifuddin Nasution berkata, beliau akan mengadakan satu taklimat khas kepada ahli Parlimen bagi menjelaskan isu berkaitan permohonan taraf kewarganegaraan termasuk tatacara permohonan dan senario yang perlu diambil perhatian.

Beliau juga berharap pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak yang lahir di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing mendapat kerakyatan negara ini akan mendapat sokongan ahli Parlimen untuk diluluskan.

“Ini langkah yang kita ambil bersifat manusiawi. Hubungan ibu dan anak. Dulu undang-undang dibuat 1950-an belum terbayang waktu itu wanita kita akan berkahwin, bertemu jodoh di seluruh dunia.

“Sekarang 2023, takkan undang-undang itu statik dan beku di situ. Sebab itu, kita angkat untuk kita lakukan pindaan dan sasaran kita, mesti 148 (sokongan dua pertiga Ahli Parlimen) dan ini merentasi parti politik,” katanya.

Sebelum ini, Saifuddin Nasution memaklumkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2023 berkaitan kewarganegaraan dijangka dibentangkan dalam persidangan Parlimen kali ini setelah memenuhi kehendak undang-undang.

Dalam pada itu, beliau berkata, rangka penggubalan Rang Undang-Undang Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Pencegahan, Rawatan dan Pemulihan) bagi menggantikan Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983 sudah siap serta dalam proses akhir membabitkan penilaian Pejabat Peguam Negara.

Katanya RUU baharu itu akan meningkatkan akses bagi mendapatkan rawatan dan pemulihan merangkumi aspek perundangan yang lebih komprehensif.

Sumber: Sinar Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts