fbpx

TH umum agihan keuntungan awal suku kedua 2023

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengumumkan agihan keuntungan bagi 2022 pada awal suku kedua tahun ini selepas kedudukan kewangannya selesai diaudit dan diluluskan.

TH dalam kenyataan berkata sebelum ini agihan keuntungan dilaksanakan pada suku pertama tahunan berdasarkan kedudukan kewangan awal.

“Keputusan ini mengambil kira saranan penambahbaikan serta maklum balas awal Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), selaras dengan usaha TH untuk memperkukuhkan operasi, pengurusan dan tadbir urus institusi haji negara

“TH terus kekal komited untuk memberi agihan keuntungan yang mampan dan stabil selari dengan mandat penubuhannya mengurus simpanan umat Islam bagi tujuan menyempurnakan Rukun Islam kelima iaitu haji,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, kerajaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menubuhkan RCI susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Julai 2021 dan 8 Oktober 2021.

RCI itu ditubuhkan bagi melaksanakan siasatan dan menyediakan laporan untuk dipersembah kepada Seri Paduka dalam tempoh enam bulan selepas penubuhannya iaitu berkait isu-isu pengurusan dan operasi TH bermula 2014 sehingga 2020.

Selain bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif, selaku pengerusi, lima lagi ahli yang dilantik dalam RCI itu termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman; Pengasas RHB Group, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Tan Sri Mohd Munir Abdul Majid yang juga bekas Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts