fbpx

Skim penipuan pelaburan ‘Sencapital’, mangsa rugi hampir RM7 juta

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 42 laporan berhubung skim penipuan pelaburan dikenali sebagai ‘Sencapital’ dengan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM6,718,395.70.

Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, skim itu dipercayai aktif sejak penghujung tahun 2022 dengan menawarkan pelaburan berasaskan pembelian saham.

“Pelabur yang berminat akan dimasukkan ke dalam kumpulan aplikasi Whatsapp yang dinamakan sebagai ‘JP Morgan Business School’.

“Pelabur kemudian diminta mendaftar dan membeli saham yang ditawarkan melalui laman sesawang syarikat itu bagi tujuan pembayaran dan diminta membuat membuat pindahan wang ke beberapa akaun syarikat yang berbeza.

“Bermula Februari 2023, laman sesawang Sencapital tidak lagi aktif dan pelabur tidak dapat mengeluarkan wang yang telah dilaburkan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Noorsiah berkata, kes tersebut disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihak polis menggesa individu yang menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tersebut untuk tampil membuat laporan.

“PDRM mengingatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan atau simpanan yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan,” ujarnya.

Sumber: Astro Awani

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts