fbpx

‘Cubaan bunuh diri isu kesihatan awam, bukan kesalahan jenayah’

KUALA LUMPUR: Kerajaan berpendirian isu cubaan bunuh diri ini perlu dikendalikan sebagai isu kesihatan awam, bukannya sebagai kesalahan jenayah.

Ini memandangkan kajian mendapati individu yang mengalami kemurungan mempunyai risiko 20 kali ganda tingkah laku bunuh diri dan mengalami kematian akibat bunuh diri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh, berkata selaras kedudukan antarabangsa iaitu Pengelasan Penyakit Antarabangsa (ICD) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, percubaan bunuh diri diklasifikasi sebagai penyakit dan dikodkan sebagai ICD 11 – MB23.R.

Susulan itu, beliau berkata, kerajaan sedang memuktamadkan ketetapan dasar dan beberapa rang undang-undang (RUU) bagi menyahjenayahkan kesalahan cubaan bunuh diri, berdasarkan kajian dijalankan Jabatan Peguam Negara.

Katanya, kajian itu merangkumi kesalahan cubaan bunuh diri mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan cadangan pemansuhannya, selain meneliti pendekatan beberapa negara bagi menilai justifikasi dan implikasi pelaksanaannya daripada sudut perundangan.

“Saya mempengerusikan 10 sesi libat urus dan pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Singapura bagi meneliti dan menyelesaikan semua perkara perundangan berbangkit dalam usaha ini, sejak Disember lalu.

“Seterusnya, Memorandum Jemaah Menteri mengenainya akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk kelulusan dan semua RUU berkenaan akan dibentang di Parlimen untuk perbahasan dan kelulusan,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) berhubung pindaan Seksyen 309 Kanun Keseksaan, menyahjenayahkan cubaan bunuh diri bagi menangani isu peningkatan jumlah cubaan membunuh diri di seluruh negara.

Ramkarpal berkata, cubaan membunuh diri seperti keterangannya adalah episod tingkah laku mencederakan diri yang dilakukan dengan niat penuh kesedaran untuk mengakhiri nyawa pelaku terbabit.

“Individu yang cuba membunuh diri perlu dibawa ke hospital bagi mendapatkan penilaian lanjut dan diberi rawatan sewajarnya.

“Justeru, tidak seharusnya (pelaku) disabit dengan jenayah kerana mereka berada dalam keadaan mental tidak stabil,” katanya.

Sementara itu, Ramkarpal berkata, rumusan sesi libat urus mendapati pindaan perlu dibuat ke atas Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615) sebelum boleh menyahjenayahkan cubaan bunuh diri.

Ini kerana, katanya, pindaan Akta 615 perlu dibuat bagi menyelesaikan isu berkaitan takrifan individu cuba membunuh diri, sekali gus menimbulkan masalah bagi usaha menyelamatkan pelaku terbabit.

“Akta 615 perlu dipinda untuk mengeluarkan penakrifan seseorang yang cuba membunuh diri bagi membolehkan pihak berkuasa menyelamatkan pelaku serta-merta, bagi tujuan membawa ke hospital untuk penilaian dalam tempoh 24 jam.

“Kita juga berharap (usul menyahjenayahkan cubaan bunuh diri) boleh dibawa pada sidang kali ini untuk dibentang, dibahaskan dan diluluskan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut), beliau mengakui tidak boleh bersependapat dengan pandangan bekas hakim itu untuk menggunakan Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah (CPC) bagi mengatasi masalah cubaan bunuh diri.

Ini kerana, katanya, seksyen itu digunakan bagi menilai seseorang bagi menentukan sama ada dapat membuat pengakuan di mahkamah sebelum perbicaraan atau sebaliknya.

Bagaimanapun, beliau berkata, peruntukan Seksyen 309 Kanun Keseksaan mengklasifikasikan tindakan cubaan bunuh diri sebagai jenayah.

“Dalam keadaan seseorang cuba membunuh diri, ia adalah keadaan kecemasan dan menyebabkan tindakan perlu diambil secara serta-merta.

“Bukan seperti Seksyen 342 CPC dimana kita boleh hantar ke Tanjung Rambutan bagi penilaian selama sebulan dan sebagainya.

“Seksyen 309 Kanun Keseksaan perlu memberi kesan kepada pihak berkuasa melalui Akta 615 untuk segera menyelamatkan pelaku dan ini bukannya senario mengikut Seksyen 342 CPC, yang tujuannya amat berlainan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts