fbpx

KKM bincang dengan JPA serap petugas kontrak ke jawatan tetap tanpa pencen – Dr Zaliha

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyerapkan petugas perubatan berstatus kontrak ke dalam sistem perjawatan tetap tanpa diberikan pencen.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata ini bagi menangani bebanan tugas yang melebihi kapasiti sumber sedia ada serta untuk mengurangkan beban skim berpencen ditanggung negara ketika ini yang mencecah RM29.1 bilion pada 2021.

“Kita sedar beban kerajaan berdepan dengan skim berpencen iaitu pada 2011 nilainya adalah sebanyak RM3.1 bilion dan kemudian meningkat kepada RM29.1 bilion pada 2021, ini adalah beban yang sangat tinggi dan mungkin terus meningkat.

“Jadi kita memikirkan jalan keluarnya adalah dengan mengusulkan untuk mengambil pekerja kontrak secara tetap tetapi tanpa pencen, namun mereka ini boleh mendapat manfaat yang sama seperti pekerja tetap yang lain antaranya boleh membuat pinjaman perumahan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Jefridin Atan yang ingin tahu sama ada KKM mempertimbangkan untuk menambah jawatan doktor kontrak bagi mengatasi masalah bebanan kerja petugas kesihatan.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata ekoran peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD), KKM menghadapi peningkatan bilangan pesakit dalam dan luar di fasiliti kesihatan terutama di hospital melebihi kapasiti sumber sedia ada sekali gus menyebabkan kesesakan di hospital.

“Untuk mengurangkan kesesakan di hospital, kita telah melaksanakan projek rintis diketuai Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) yang juga ditubuhkan di bawah penyeliaan Ketua Setiausaha Negara.

“KKM juga membudayakan usaha pendigitalan untuk kurangkan beban kerja anggota KKM selain melaksanakan amalan penjadualan yang boleh membantu memastikan anggota mempunyai masa rehat mencukupi antara syif termasuk dalam memberikan cuti kepada petugas kesihatan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts