fbpx

Keluhan peniaga dakwa rugi jualan tak habis, KPDN akan tinjau Bazar Ramadan

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan turun padang melakukan tinjauan untuk mendapatkan data dan fakta berhubung keluhan peniaga Bazar Ramadan yang mendakwa kerugian akibat kekurangan pembeli.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata langkah itu penting bagi membolehkan KPDN memeriksa kesahihan dakwaan berkenaan dan mendapat gambaran lebih tepat.

“KPDN akan membuat tinjauan untuk mendapatkan data dan fakta menyeluruh terlebih dahulu, sama ada ia berlaku di seluruh negara atau hanya di lokasi tertentu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sejak beberapa hari lalu, media melaporkan luahan hati peniaga Bazar Ramadan yang mendakwa kerugian akibat makanan tidak habis dijual walaupun orang ramai berkunjung ke bazar itu.

Seorang peniaga Bazar Ramadan yang menjual nasi tomato dan nasi beriani di Presint 14 Putrajaya dilaporkan mendakwa menanggung kerugian ratusan ringgit sehari kerana makanan tidak habis dijual.

Ia berikutan makanan yang dimasak setiap hari itu tidak boleh dijual semula pada keesokan harinya, bagi mengelak pelanggan mendapat makanan yang rosak.

Tinjauan dalam beberapa media sosial yang membincangkan isu keluhan peniaga Bazar Ramadan pula mendapati antara punca pengguna dikatakan tidak banyak membeli di bazar itu ialah faktor kos sara hidup.

Seorang pengguna media sosial berkata, kebanyakan pengguna sedang berjimat kerana perlu menanggung keperluan lebih penting.

“Ada peniaga mengambil kesempatan letak harga lauk-pauk dan kuih-muih agak tidak munasabah, sedangkan rakyat perlu berjimat serta mengawal perbelanjaan.

“Tahun ini, Ramadan bertembung dengan penggal baharu sekolah dibuka, jadi orang ramai lebih memilih untuk berjimat belanja harian bagi persediaan raya pula nanti,” dakwanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts