fbpx

KTMB sedia Tren Khas Ekspres Lambaian Aidilfitri

SHAH ALAM – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan perkhidmatan Tren Khas Ekspres Lambaian Aidilfitri ke Pantai Timur dari stesen Kuala Lumpur Sentral ke stesen Tumpat dan sebaliknya.

KTMB dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 1,864 tiket ditawarkan untuk empat perjalanan tren ekspres bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Perkhidmatan tren khas ini sebagai salah satu pengangkutan alternatif sempena Aidilfitri untuk pulang ke Pantai Timur selain menggunakan jalan darat yang sering kali sesak dengan kadar trafik tinggi.

“Inisiatif ini juga khusus buat mereka yang ingin pulang ke kampung dengan selesa, selamat dengan tambang yang berpatutan,” menurut kenyataan itu.

Perjalanan pertama tren khas itu adalah pada jam 11 malam 19 April dari Kuala Lumpur Sentral ke Tumpat dan perjalanan sebaliknya pada jam 10.50 malam 24 April.

Perjalanan kedua pula pada jam 11 malam 20 April dari Kuala Lumpur Sentral ke Tumpat dan perjalanan sebaliknya pada 25 April jam 10.50 malam,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, Tren Khas Lambaian Aidilfitri akan berhenti di 16 buah stesen termasuk Stesen Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Gemas, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah, Wakaf Bharu dan Tumpat.

Menurut kenyataan itu lagi, tren khas berkenaan dilengkapi dengan koc katil, koc tempat duduk premier, koc tempat duduk superior, koc buffet, dan koc chillax.

“Pengguna disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman sesawang KTMB,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kementeriannya berterima kasih kepada KTMB atas inisiatif itu bagi memberikan solusi kepada warga Pantai Timur untuk pulang ke kampung halaman.

“Sememangnya, kita sedia maklum, kesesakan semasa musim perayaan adalah masalah utama negara kita. Perkhidmatan ini menawarkan keselesaan kepada orang ramai, kanak-kanak dan warga emas untuk balik kampung,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts