fbpx

400 rugi RM56 juta terpedaya skim pelaburan saham antarabangsa

Kuala Lumpur: Empat ratus individu kerugian kira-kira RM56 juta selepas terpedaya dalam skim pelaburan saham antarabangsa.

Suri rumah hanya mahu dikenali sebagai Siti, 47, kerugian RM230,000 apabila wang peninggalan arwah suaminya ‘lebur’ dalam pelaburan terbabit.

Menurutnya, dia mula melabur pada 2021 dan mendapat pulangan empat peratus selama 10 bulan.

Namun syarikat dikenali dengan platform ‘planetrade’ itu gagal membayar keuntungan pada Februari tahun lalu.

“Saya membuat laporan polis tahun lalu sebelum membuat satu lagi laporan polis awal bulan ini,”katanya pada sidang media bersama ‘Malaysia International Humanitarian Organisation’ (MHO) di Sungai Besi di sini, hari ini.

Seorang lagi suri rumah, Azian, 43, mendakwa, dia hanya membuat laporan pada bulan lalu selepas setahun dalam ketakutan apabila terlihat rakan-rakan serta ejen mengambil tindakan berkenaan namun ditahan polis.

“Malah mereka kata harta, kereta semua dibeku jadi saya tidak lapor kerana takut jika menerima nasib sama,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menggesa pelabur yang menjadi mangsa untuk membuat laporan polis.

Katanya, kebanyakan mangsa didakwa takut membuat laporan polis selepas beberapa ejen dan pelaburan yang mengambil tindakan sebegitu ditahan polis, disiasat selain akaun bank dan harta dibeku pihak berkuasa.

“Kegiatan itu didalangi lelaki bergelar ‘Tan Sri’ palsu sebagai pengarah syarikat dengan menawarkan pelaburan saham berlandaskan syariah serendah RM30,000.

“Syarikat itu turut menjanjikan dividen sehingga empat peratus menyebabkan ramai mula melabur pada awal 2021 dan mendapat pulangan dalam tempoh beberapa bulan.

“Syarikat pelaburan itu gagal membayar dividen pada Disember 2021 sehingga kini menyebabkan beberapa ejen dan pelabur membuat laporan polis tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, Hishamuddin berkata, ejen ditahan polis sehingga menyebabkan mangsa lain yang tertipu takut untuk melaporkan kepada polis.

“Setakat ini, 140 aduan diterima MHO dan dianggarkan kira-kira 400 mangsa terpedaya dalam pelaburan berkenaan.

“Saya juga nak perbetulkan pemikiran mereka (mangsa), jika tidak membuat laporan walaupun tahu ia satu jenayah, ia adalah salah di sisi undang-undang iaitu Seksyen 202 Kanun Keseksaan.

“Ejen yang ditahan hanya dijadikan saksi, namun walaupun pengarah syarikat kini didakwa di mahkamah, namun ramai lagi mangsa tidak mendapat pembelaan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts