fbpx

Banduan mengaku tak salah pengubahan wang haram RM5.69 juta

SHAH ALAM: Seorang banduan warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat tuduhan terbabit aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM5.69 juta, pada 2017 dan 2018.

Bagaimanapun, Loke Chee Min, 64, yang juga bekas peguam mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norazlin Othman.

Mengikut pertuduhan, Chee Min melupuskan lebih RM4 juta menerusi 26 cek CIMB Bank hasil aktiviti haram daripada akaun Public Bank Berhad dan Alliance Bank Malaysia Berhad masing-masing milik firma guamannya.

Bekas peguam itu juga berdepan tuduhan kerana memindahkan RM1.6 juta melalui tiga transaksi hasil aktiviti haram daripada CIMB Bank Berhad dan Public Bank Berhad ke Alliance Bank Malaysia Berhad milik firma terbabit.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga bank itu di Taman Taming Jaya, Balakong, Hulu Langat dan Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan, Petaling antara 12 Oktober 2017 dan 30 Januari 2018.

Pendakwaan mengikut Perenggan 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama dibaca bersama Perenggan 87(1)(a) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta atau yang mana lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Amanina Wan Din, tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh masih menjalani hukuman di Penjara Kajang atas kesalahan lain mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

“Kami mohon tarikh sebutan seterusnya untuk serahan dokumen dan tertuduh melantik peguam,” katanya.

Hakim kemudian menetapkan 11 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews