fbpx

KKM perhalusi laksana persijilan makanan selamat di fasiliti kerajaan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperhalusi pelaksanaan Pensijilan Makanan Selamat sebagai syarat perkhidmatan pembekalan makanan ketika mesyuarat dan majlis rasmi di semua fasiliti kementerian di Putrajaya.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, usul itu dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan Keenam Belas (MKMPK-16) semalam.

“Perkara ini perlu diperhalusi sebelum tindakan selanjutnya dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Zaliha berkata, empat wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO), turut bersama dalam mesyuarat itu.

Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat turut dimaklumkan mengenai Dasar Keselamatan Makanan Kebangsaan, sistem pemantauan secara dalam talian bagi Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (MS-NPANM).

Turut disentuh, katanya, pelaksanaan perjanjian peringkat ASEAN berkaitan pemeriksaan dan pensijilan bagi produk makanan, pewartaan akuan nutrien baru bagi asid lemak trans dan akuan fungsi baru bagi antioksidan daripada minyak sawit serta komitmen Industri dalam penghasilan produk makanan dengan pilihan lebih sihat.

“Selain itu, mesyuarat dimaklumkan bahawa pihak KKM juga sudah menghasilkan Pelan Strategik Mengurangkan Gula dalam Kalangan Rakyat Malaysia (2023-2025), yang membabitkan tindakan multi-sektoral.

“Mesyuarat ini akan dijadikan platform yang tepat untuk perbincangan dan penyelarasan aktiviti bagi menangani isu-isu terkini keselamatan makanan dan pemakanan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts