fbpx

KKM arah pengeluar tarik balik dua mi segera secara sukarela

KUALA LUMPUR: Dua produk mi segera iaitu Mi Kari Putih Penang Ah Lai dari Malaysia dan Mi Segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial diarah untuk menarik balik penjualannya dari pasaran.

Ini susulan Pihak Berkuasa Kesihatan Taiwan mendapati terdapat ethylene oxide dalam kedua-dua produk mi segera terbabit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata ethylene oxide adalah sebatian gas kimia yang karsinogenik dan sering digunakan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga.

Katanya, ia juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci tetapi tidak dibenarkan penggunaannya pada permukaan yang bersentuhan makanan.

“Bagi sampel Mi Kari Putih Penang Ah Lai, persampelan di Malaysia mendapati ia mematuhi perundangan.

“Meskipun begitu, bagi memastikan kawalan keselamatan makanan yang berterusan, pihak kementerian telah mengeluarkan arahan kepada pihak syarikat untuk tarik balik secara sukarela produk Mi Kari Putih Penang Ah Lai bagi pembungkusan (batch) berkaitan yang mempunyai tarikh luput 25 Ogos 2023 dari pasaran tempatan sekiranya ada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau juga mengesahkan bahawa terdapat kemasukan produk mi segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial keluaran Indonesia ke negara ini, berdasarkan semakan data daripada Food Safety Information System of Malaysia.

“Dalam hal ini, kami telah mengeluarkan arahan untuk tindakan Tahan, Uji dan Lepas bagi produk mi segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial di semua pintu masuk negara dan meminta pihak syarikat menarik balik secara sukarela produk terbabit dari pasaran,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Muhammad Radzi menjelaskan, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sudah menjalankan pemantauan keselamatan makanan yang berterusan ke atas produk makanan berkaitan yang dijual di pasaran tempatan mahupun yang diimport.

“Ia lanjutan daripada isu penarikan semula produk Mi Sedaap keluaran negara Indonesia yang mengandungi ethylene oxide pada tahun lalu.

“Hasil pemantauan dari 2022 hingga kini ke atas 36 sampel produk mi segera pelbagai jenama di pasaran tempatan, didapati 11 sampel produk Mi Sedaap mengandungi ethylene oxide dan tindakan penguatkuasaan sudah diambil.

“Tindakan yang diambil termasuk kompaun, tindakan mahkamah dan penarikan balik produk dari pasaran. Pihak kementerian sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Pengguna dinasihatkan tidak mengambil atau memakan produk terbabit,” katanya.

Katanya, sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu berkaitan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.

“Selain itu pengguna boleh menyalurkan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” katanya.

Semalam, Jabatan Kesihatan Taipei dalam kenyataan menyebut dua jenama mi segera dari Malaysia dan Indonesia dikesan mengandungi bahan yang mendorong penyakit kanser.

Jabatan itu mendapati mi segera berjenama ‘Ah Lai White Curry Noodles’ dari Malaysia dan satu lagi ‘Indomie: Special Chicken Flavour’ buatan Indonesia, mengandungi etilena oksida yang juga sebatian kimia dikaitkan dengan penyakit limfoma dan leukemia.

Jabatan itu berkata, ujian dijalankan mengesan etilena oksida dalam kedua-dua mi dan peket perencah produk Malaysia terbabit, manakala produk Indonesia berkenaan pula hanya terkandung dalam peket perencah.

Peruncit telah diarahkan untuk menarik balik penjualan kedua-dua produk terbabit, dan pengimportnya pula akan didenda antara NT$60,000 (kira-kira RM8,600) hingga NT$200 juta (kira-kira RM28.87 juta), menurut jabatan itu.

Berdasarkan maklumat dalam laman sesawang Biro Bahan Kimia dan Toksik bahawa Pentadbiran Perlindungan Alam Sekitar peringkat Kabinet, etilena oksida adalah beracun apabila dimakan atau dihidu.

Selain mendorong penyakit limfoma serta leukemia, etilena oksida juga boleh mengakibatkan kerengsaan pada kulit dan mata yang terkena bahan terbabit, malah ia berisiko menyebabkan kecacatan kelahiran serta keturunan.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts