fbpx

Talian hotline lapor kegiatan jenayah terus kepada JSJ Bukit Aman

Kuala Lumpur: Orang ramai kini boleh membuat laporan berkaitan jenayah secara terus kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menerusi talian hotline 019-3764763.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, talian hotline itu dilancarkan sebagai inisiatif membendung aktiviti jenayah daripada berleluasa.

“Talian hotline ini akan dikendalikan sepenuhnya oleh Urusetia JSJ.

“Ia bertujuan membolehkan masyarakat mengemukakan sebarang aduan, laporan atau maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah khususnya judi, pelacuran, gangsterisme, penyeludupan manusia, kontraban dan jenayah bersindiket lain,” katanya hari ini.

Menurutnya, fokus utama adalah usaha mematahkan unsur gengsterisme yang mengganggu-gugat ketenteraman awam, sindiket pemerdagangan manusia, perjudian dalam talian dan aktiviti kongsi gelap.

Ayob Khan menegaskan, JSJ perlu sentiasa selangkah di hadapan penjenayah atau sindiket agar kegiatan mereka dapat dibendung dengan lebih berkesan.

“Semua pegawai dan anggota JSJ perlu memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat khususnya dalam mempertingkatkan lagi kualiti kertas siasatan dan peningkatan kadar pendakwaan serta sabitan kes-kes jenayah,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts