KUALA LUMPUR: EVE Energy Malaysia Sdn Bhd (EVE) dan Pemaju Kelang Lama Sdn Bhd memeterai Perjanjian Persafahaman (MoU) bagi menubuhkan kilang pembuatan termaju EVE membabitkan pelaburan AS$422.3 juta (RM1.88 bilion).
Kilang terletak di Kulim, Kedah yang menjadi kemudahan ke-53 EVE dijangka menerajui pembangunan Taman Perindustrian Bateri Silinder Antarabangsa di negara ini.
Menurut EVE, kemudahan terbabit akan memberi tumpuan terutamanya kepada pengeluaran bateri litium-ion silinder untuk alat kuasa dan dua roda elektrik.
Projek berkenaan juga berpotensi untuk mewujudkan 600 peluang pekerjaan baharu berkualiti tinggi, seterusnya menyumbang kepada ekonomi tempatan dan sektor pekerjaan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata keputusan EVE untuk menubuhkan kilang pembuatan di Malaysia mendapat sokongan padu kerajaan.
“Dalam usaha kita untuk membuka potensi penuh kenderaan elektrik (EV), adalah penting untuk kita mengiktiraf peranan signifikan yang digalas pengeluar bateri.
“Penubuhan kemudahan pembuatan termaju khusus untuk pengeluaran bateri litium-ion silinder di Kulim, membuktikan komitmen ini. Melalui kerjasama dengan peneraju industri seperti EVE, Malaysia boleh memacu inovasi, meningkatkan prestasi bateri dan menyumbang secara signifikan kepada peralihan global ke arah mobiliti mampan.
“MoU ini akan menggalakkan pembangunan ekonomi dan pekerjaan tempatan dengan tegas dan seterusnya meningkatkan kemahiran pekerja tempatan, yang boleh menyumbang kepada pembangunan sokongan tempatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan industri berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan mewujudkan persekitaran yang lebih sesuai untuk perusahaan inovatif global bagi mencapai pembangunan yang saling menguntungkan dan menang-menang.
“MoU ini menandakan kemajuan projek EVE di Malaysia, yang secara berkesan memenuhi keperluan syarikat untuk mengembangkan lagi kapasiti pengeluaran bateri silinder bagi menyokong pengeluar kenderaan dua roda elektrik dan alatan kuasa, terutamanya untuk Malaysia dan Asia Tenggara.
“Bergantung pada kelebihan dan pengalaman pembuatan domestiknya, kilang EVE di Malaysia akan terus mempunyai inovasi teknikal. Ia berusaha untuk menjadi pembuatan termaju dan kilang bateri pintar digital bertaraf dunia.
“Ini akan terus mempromosikan perniagaan luar negara syarikat dan bahagian pasaran global bagi pasaran dua roda dan alatan kuasa elektrik dan meningkatkan daya saing komprehensif EVE, sambil mempercepatkan pengembangan perniagaan luar negaranya dan mempromosikan pembangunan Malaysia,” katanya.
EVE ditubuhkan pada 2001 dan disenaraikan pada 2009.
Selepas 22 tahun pembangunan pesat, EVE kini telah menjadi sebuah syarikat multinasional yang menumpukan pada penyelesaian penjanaan bateri litium.
Menawarkan teknologi teras dan penyelesaian komprehensif untuk bateri pengguna, bateri kuasa dan bateri simpanan tenaga.
Produk EVE digunakan secara meluas dalam bidang internet kebendaaan (IoT), internet tenaga dan bateri litium-ionnya dibekalkan kepada jenama peringkat pertama global.
EVE juga telah menjadi antara 10 syarikat teratas di dunia dari segi kuasa bateri, selain bekerjasama dengan pembuat kereta terkenal di peringkat antarabangsa seperti BMW, Daimler, Hyundai dan Jaguar Land Rover.
Jejak asas jualan globalnya telah berkembang ke Amerika Syarikat (AS), Jerman, Malaysia serta rantau lain.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman berkata, MIDA komited untuk menarik pelaburan berkualiti untuk menyokong rantaian bekalan dan ekosistem EV di Malaysia.
Sumber: Berita Harian