fbpx

Siasatan polis terhadap Jho Low masih berjalan – KPN

KUALA LUMPUR: Siasatan polis terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau dikenali Jho Low yang terbabit dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) masih berjalan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pada masa ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih berusaha membawa pulang Jho Low.

“Bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) kertas siasatan terhadap Jho Low iaitu di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, masih berjalan.

“Pertuduhan ke atasnya (Jho Low) sudah dibuat di mahkamah pada Ogos 2018,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Acryl berkata pada masa ini beliau masih belum berkesempatan untuk bertemu dengan Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berhubung usaha membawa pulang Jho Low untuk dibicarakan.

“Apa yang saya tahu usaha membawa balik Jho Low sedang giat dilakukan oleh SPRM, namun saya masih belum mempunyai butiran lanjut kerana belum berkesempatan bertemu Tan Sri Azam Baki,” katanya.

Beliau berkata tiada sebab untuk siasatan kes berkenaan ditutup sehingga Jho Low dihadapkan ke mahkamah.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts