fbpx

RM8.2 juta naik taraf sistem keselamatan kereta kabel di Langkawi

Langkawi: Syarikat pengendali SkyCab (Kereta Kabel), Panorama Langkawi Sdn Bhd (Panorama Langkawi) membelanjakan RM8.2 juta bagi menaik taraf sistem keselamatan dalam menjamin keselamatan pengguna.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin, berkata sebanyak RM4.4 juta adalah untuk pemasangan sistem kawalan kereta kabel dikenali D-Connect.

“Panorama Langkawi juga membelanjakan sebanyak RM3.8 juta untuk projek pemasangan interkom dan peranti info dalam gondola sebagai langkah komited syarikat untuk menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna.

“Menerusi D-Connect kita boleh mengesan kerosakan dengan cepat,interkom pula membolehkan komunikasi dua hala ketika kecemasan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran sistem D-Connect di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Bahagian Pelancongan LADA, Dr Azmil Munif Mohd Bukhari dan Pemangku Ketua Pegawai Operasi Panorama Langkawi, Abu Hashim Abd Rahman.

Panorama Langkawi adalah anak syarikat LADA yang dipertanggung jawab mengendali perkhidmatan kereta kabel juga produk pelancongan popular di pulau pelancongan itu, sejak 20 tahun lalu.

Wan Kamarul Faisal berkata, paling menarik sistem D-Connect boleh diakses menerusi internet dan syarikat yang membangunkan kereta kabel, Doppelmayr dari Austria boleh melakukan diagnostik kerosakan secara dalam talian.

“Ini antara nilai tambah yang kita lakukan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengunjung berada pada tahap tertinggi, khususnya menjelang Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23).

“Malah, peranti info yang dipasang di dalam setiap gondola membantu pengguna mendapat maklumat berkaitan produk-produk pelancongan, sekali gus menjadikan percutian mereka ke pulau ini menyeronokkan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts