fbpx

Dunia dijangka alami gelombang paling panas antara 2023-2027

GENEVA: Suhu purata bumi dijangka meningkat melebihi had 1.5 darjah Celsius buat pertama kali dalam tempoh lima tahun akan datang berikutan pemanasan global yang semakin bertambah buruk.

Lapor BBC, pasukan saintis dan penyelidik yakin bumi berkemungkinan besar bakal memecahkan rekod suhu purata itu sebelum 2027.

Suhu dunia mungkin melebihi had yang ditetapkan dalam tempoh lima tahun dari sekarang, menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WM0).

Saluran berita CNN melaporkan, fenomena itu berlaku disebabkan gabungan pencemaran yang memerangkap haba dan faktor cuaca El Nino.

Suhu dunia meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila manusia terus membakar bahan api fosil yang memanaskan Bumi seperti arang batu, minyak dan gas dengan tiada tanda-tanda ia akan diperlahankan.

Dalam kemas kini iklim tahunannya, WMO yang berpangkalan di Geneva berkata, antara 2023 hingga 2027 wujud 66 peratus kemungkinan suhu Bumi meningkat lebih daripada 1.5 darjah Celsius selama sekurang-kurangnya satu tahun.

Ketika suhu terus meningkat, terdapat 98 peratus kemungkinan sekurang-kurangnya setahun daripada tempoh lima tahun dari sekarang dan keseluruhan tempoh berkenaan akan merekodkan suhu paling panas, kata WMO.

“Pelanggaran had siling suhu 1.5 darjah Celsius ini mungkin hanya untuk sementara,” katanya.

Namun, ia isyarat paling jelas betapa cepatnya perubahan iklim berlaku yang akan mempercepatkan pula kenaikan paras air laut, cuaca lebih melampau dan kemusnahan ekosistem yang menjadi nadi kehidupan.

Sebelum ini, negara dunia berikrar dalam Perjanjian Iklim Paris untuk mengehadkan pemanasan global kepada jauh di bawah angka 2 darjah Celsius dan sebaik-baiknya, 1.5 darjah Celsius lebih rendah berbanding suhu pada era sebelum industri.

Saintis menganggap angka 1.5 darjah Celsius sebagai titik perubahan utama dan sekiranya suhu meningkat melebihi paras itu, bencana banjir melampau, kemarau, kebakaran hutan dan kekurangan makanan akan meningkat secara mendadak.

Laporan ini tidak bermakna suhu dunia akan meningkat melebihi 1.5 darjah Celsius secara kekal seperti dinyatakan dalam Perjanjian Paris yang merujuk kepada pemanasan global jangka panjang.

Namun, Setiausaha Agung WMO, Prof Petteri Taalas, berkata penyelidik menekankan bahawa suhu perlu kekal pada atau melebihi 1.5 darjah Celsius selama 20 tahun untuk mengesahkan bahawa ambang perjanjian Paris sudah dilepasi.

“Laporan ini tidak bermakna dunia akan secara kekal melebihi paras 1.5 darjah Celsius seperti dinyatakan dalam Perjanjian Paris 2015, yang merujuk kepada pemanasan jangka panjang selama bertahun-tahun.

“Bagaimanapun, WMO hanya mahu mengingatkan dan memberi amaran awal bahawa bumi akan melepasi paras 1.5 darjah Celsius secara sementara, dengan kekerapan yang semakin meningkat,” katanya.

Tahun paling panas setakat ini ialah pada 2016, juga disebabkan oleh fenomena El Nino yang sangat kuat. Malah pada tahun ini sekali pun, banyak rekod suhu di seluruh dunia telah dipecahkan.

Contohnya, pada Mac lalu, terdapat wilayah di Argentina yang mencatat suhu sehingga 10 darjah Celsius melebihi bacaan biasa, manakala sebahagian besar Benua Asia merekodkan suhu panas tertinggi baharu pada April lepas.

Pada bulan ini pula, situasi serupa berlaku di kawasan barat laut Pasifik dan Amerika Syarikat (AS).

Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), siling pemanasan 1.5 darjah Celsius akan dapat melindungi kira-kira 420 juta orang daripada terdedah kepada gelombang haba melampau

Walaupun fenomena cuaca La Nina membawa iklim lebih sejuk tiga tahun lalu, suhu dunia melonjak ke tahap berbahaya dan tempoh lapan tahun sebelum ini adalah yang paling panas dalam sejarah. – AGENSI

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts