fbpx

Dua polis trafik didakwa rasuah

Shah Alam: Dua anggota polis trafik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Nazmi Baharum, 33, dan Mohammad Al Qayyum Hasim, 30, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, mereka yang bertugas sebagai anggota polis trafik di Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Bukit Aman, Kuala Lumpur dengan niat bersama meminta suapan wang tunai RM3,000 dan menerima RM900 daripada seorang lelaki berusia 27 tahun.

Ini sebagai dorongan untuk tidak menangkap lelaki berkenaan yang mempunyai tiga waran tangkap atas kesalahan trafik.

Kesalahan itu dilakukan antara 3.30 dan 4 petang masing-masing di bawah jejambat berhampiran Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) dan perhentian bas berhampiran stesen minyak di Balakong pada 3 Oktober 2020.

Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) dan 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir mencadangkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh bagi semua pertuduhan serta syarat tambahan passport diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM pada setiap bulan.

Sementara itu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan Muhammad Nazmi memaklumkan telah menghantar surat peletakkan jawatannya pada Mac lalu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM8,000 setiap seorang dengan syarat tambahan menyerahkan passport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke Pejabat SPRM pada setiap awal bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Julai depan.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews