fbpx

Russian Knights teruja kembali sertai LIMA ’23

LANGKAWI: Pasukan aerobatik Russian Knights teruja dapat kembali menghiburkan pengunjung menerusi 25 formasi pada LIMA 2023 edisi ke-16 kali ini, selepas pameran berprestij itu dibatalkan dua tahun lalu akibat COVID-19.

Komander Pasukan itu, Lt Kol Alekseev Andrey, berkata pasukan itu berbesar hati dan gembira selepas diundang penganjur untuk kembali beraksi di ruang udara negara ini, khususnya Langkawi bersama empat pasukan aerobatik lain.

“Kami teruja untuk kembali membuat persembahan di langit Malaysia selepas mengambil bahagian secara tradisi dalam pertunjukan udara pada LIMA sejak 2013.

“Kali terakhir beraksi di sini pada 2019, datang kali ini untuk bertemu rakan (aerobatik lain) dan menghiburkan pengunjung,” katanya pada sidang media di pekarangan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), hari ini.

Alekseev berkata, bagi menyertai LIMA 2023 kali ini, pasukannya disertai 75 kru termasuk 10 juruterbang yang berpengalaman mengendalikan jet pejuang SU-35S bagi melakukan aksi maneuver.

“Bagaimanapun, ketika mengadakan pertunjukan udara, pasukan kami hanya menggunakan enam pilot dan sepanjang beraksi kami melakukan 25 formasi menggunakan jet pejuang SU-35S.

“Sejak tiba di sini, kami dilayan baik, malah seronok melakukan pertunjukan udara di Malaysia,” katanya.

Pertunjukan udara pasukannya dilakukan secara profesional sama seperti empat pasukan aerobatik lain termasuk Black Eagle dari Korea Selatan, Jupiter (Indonesia), August 1st (China) dan Al-Fursan (UAE).

“Persembahan pasukan kami di sini bukan kali pertama, namun sebilangan kecil kru dan anggota pasukan ada yang kali pertama kali ke sini, tapi itu bukan masalah,” katanya.

Alekseev turut menyifatkan edisi terbaru LIMA kali ini lebih baik berikutan penyertaan lebih banyak pasukan aerobatik terkenal dari negara lain, walaupun ia mungkin memberi ‘sakit kepala’ kepada penganjur.

Menjawab pertanyaan perbezaan antara pesawat SU-30SM yang digunakan pasukannya sebelum ini dengan SU-35S yang digunakan sekarang, Alekseev berkata SU-35S mempunyai enjin dan sistem radar yang jauh berbeza, selain saiznya lebih panjang.

Sebagai rekod, pasukan aerobatik itu telah mula menerima SU-35S yang pertama pada tahun 2019 bagi menggantikan Su-30SM.

Pasukan Black Eagle menerbangkan jet FA-50; Jupiter (KT-1B Wong Bee); August 1st (Chengdu J-10) dan Al-Fursan (Aermacchi MB339A).

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts