fbpx

Remaja Dunia: Malaysia teruskan rentak cemerlang di Spokane

KUALA LUMPUR: Malaysia meneruskan rekod cemerlang pada Kejohanan Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2023 di Spokane, Amerika Syarikat dengan meraih kemenangan ketiga, 5-0 ke atas Latvia pada Selasa.

Dalam kejohanan yang berlangsung di The Podium, pasangan beregu campuran, Low Han Chen-Chan Wen Tse mengutip mata pertama untuk pasukan negara apabila hanya mengambil masa 18 minit untuk menundukkan Davis Strazdins-Nikola Mukiele, 21-9, 21-3.

Pemain perseorangan lelaki negara, Muhammad Faiq Haziq tidak berdepan masalah untuk mengutip mata kedua buat Malaysia apabila menang mudah dalam perlawanan straight set ke atas Rihards Zugs, 21-5, 21-8 manakala pemain perseorangan perempuan, Ong Xin Yee, menepati jangkaan dengan mengumpul mata ketiga apabila menewaskan Anna Kupca, 21-14, 21-5.

Beregu lelaki, Bryan Jeremy Goonting-Aaron Tai menghadiahkan mata keempat apabila menewaskan Toms Sala-Davis Strazdins, 21-5, 21-12, sebelum gandingan beregu perempuan negara, Chong Jie Yu-Carmen Ting mengesahkan kemenangan negara dalam perlawanan akhir menewaskan Eiprila Briede-Darta Alise Demitere dengan 21-7, 21-7.

Pada Isnin, Malaysia memulakan kempen Kumpulan C dengan bergaya apabila menundukkan Poland, 4-1, pada perlawanan pembukaan dan menumpaskan Austria, 5-0 dalam perlawanan kedua.

Malaysia perlu menang menentang England dalam perlawanan terakhir kumpulan yang akan diadakan lewat hari ini dalam usaha menempah slot ke peringkat suku akhir kejohanan itu.

Hanya pasukan yang menduduki tempat teratas kumpulan layak ke peringkat lapan terakhir.

Ketika ini, Malaysia menduduki tangga teratas kumpulan dengan 3 mata diikuti England (2 mata) dan Poland (1 mata) manakala Austria serta Latvia masih belum memperoleh sebarang mata daripada kejohanan itu.

Pada Oktober tahun lalu, Malaysia gagal mara ke suku akhir Kejohanan Remaja Dunia di Santander, Sepanyol dan menamatkan acara berpasukan campuran di tempat kesembilan selepas menewaskan Denmark 4-1.

Lebih menyedihkan apabila buat pertama kalinya, tiada wakil negara layak ke suku akhir acara perseorangan di Sepanyol.

Ini adalah kali kedua berturut-turut Malaysia pulang dengan tangan kosong selepas edisi 2019 di Kazan, Rusia.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat dalam kejohanan itu ialah pada edisi 2018 di Kanada apabila Goh Jin Wei muncul juara perseorangan perempuan manakala Pearly Tan-Toh Ee Wei membawa pulang perak bagi acara beregu perempuan.

Sumber: Astro Awani

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts