fbpx

Malaysia Airport sumbang barangan kelengkapan persekolahan kepada 150 murid 

KUCHING: Malaysia Airport menerusi program tanggungjawab korporatnya MYAirportCARES Ceria Kembali ke Sekolah hari ini menyumbang barangan kelengkapan persekolahan kepada 150 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tabuan Jaya Kuching.

Sumbangan berjumlah hampir RM90,000 itu diagihkan kepada murid tahun satu hingga tahun enam sekolah terbabit sempena pembukaan semula musim persekolahan yang akan bermula pada Mac nanti.

Di samping menerima barangan kelengkapan persekolahan bernilai RM300 setiap seorang, murid juga diberikan kad pintar tanpa tunai bernilai RM300 (setiap seorang) untuk pembelian buku dan makanan di kantin sekolah.

Sesi penyerahan kad pintar tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Malaysia Airports Tan Sri Datuk Zainun Ali di sebuah pusat beli-belah di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini, hari ini sebaik sahaja murid-murid terbabit selesai membeli-belah barangan kelengkapan sekolah masing-masing.

Ia turut dihadiri pihak pengurusan Malaysia Airports serta sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Malaysia Airports di Kuching serta guru dan murid terpilih.

Penerima-penerima sumbangan ini dipilih berdasarkan beberapa kriteria ditetapkan Malaysia Airports dengan kerjasama Yayasan MyKasih yang melibatkan murid dalam kategori B40 dari daerah Kuching, iaitu di kawasan lapangan terbang kendalian Malaysia Airports iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching beroperasi.

Dalam pada itu, Zainun menerusi kenyataan berkata, sejajar dengan program tanggungjawab korporat Malaysia Airports iaitu di bawah inisiatif ‘MYAirportCARES: Community & Youth Empowerment Through Education’ yang memperkasakan pendidikan kepada komuniti setempat, program semalam merupakan sebahagian daripada program teras pihaknya yang bertujuan membantu meringankan bebanan ibu bapa.

“Ia sekali gus menaikkan semangat murid dalam menimba ilmu dengan keadaan fizikal yang rapi berserta keperluan persekolahan serba mencukupi. 

“Sebagai organisasi berkaitan kerajaan, kami berazam meneruskan dan mengembangkan lagi usaha-usaha seperti ini pada masa akan datang,” ujarnya.

Untuk rekod, sejak 2018, inisiatif MYAirportCARES Ceria Kembali ke Sekolah telah memberi manfaat kepada lebih 3,000 murid sekolah rendah daripada kumpulan B40.

Selain itu, program ini turut memberi impak positif kepada lebih daripada 39 sekolah terpilih berhampiran lapangan terbang kendalian Malaysia Airports. 

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Yayasan Mykasih Jeff Perrera, Pengurus Besar Komunikasi Korporat Malaysia Airports Shukreen Ma, Pengurus Kanan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Malaysia Airports Jun Iskandar Murshidi dan Guru Besar SK Tabuan Jaya Mustapha Imbun. 

Sumber: Utusan Borneo

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews