fbpx

Lelaki maut ditikam kerana minum air oren rakan ketika buka puasa

Shah Alam: Seorang lelaki Bangladesh maut ditikam rakan sekerja ketika berbuka puasa di asrama pekerja sebuah kilang di Seksyen 36 di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya terdahulu menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.20 malam.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku selepas suspek iaitu seorang lelaki Pakistan berusia 51 tahun berang apabila mangsa meminum air orennya ketika berbuka puasa.

“Hasil siasatan polis mendapati mangsa adalah seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia 49 tahun dan bekerja sebagai pekerja am. Mangsa dan suspek tinggal bersama-sama di dalam kontena yang dijadikan sebagai asrama kilang.

“Kejadian berpunca daripada suspek marah apabila mangsa meminum air orennya semasa berbuka puasa yang mana suspek bertindak menikam mangsa beberapa kali dengan menggunakan sebilah pisau yang diambil daripada dapur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian ditahan pada 7.30 malam di lokasi kejadian dan semakan mendapati mereka adalah rakan sekerja.

Katanya, turut dirampas adalah pisau yang digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau pemenjaraan bagi satu tempoh yang tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut bolehlah menghubungi Pegawai Penyiasat Asistan Superintendan Md Anuar Md Amilah @ Harun di talian 019-2255597,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews