fbpx

Kisah kejatuhan P Ramlee difilemkan

BANGI: Mencabar keupayaan diri, pelakon Megat Sharizal Mohamed Yusoff mencurahkan keringat dan kreativiti dalam menggerakkan projek filem sulung arahannya berjudul Mencari Ramlee, iaitu naskhah berkisar era kejatuhan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada 1970-an yang disampaikan secara fiksyen.

Menjadikan filem mega sentuhan Seniman Agung itu, iaitu Seniman Bujang Lapok dan Antara Dua Darjat sebagai sumber inspirasi, filem Mencari Ramlee membawa topik berbeza berhubung kepayahan dan pergelutan yang dihadapi artis tempatan pada era 1970-an.

Mendapat sokongan bintang ternama, filem Mencari Ramlee dijayakan Datin Sofea Jane, Tony Eusoff dan Mimi Lana dengan penampilan khas Beto Kusyairy, Amerul Affendi, Bront Palarae, Sharifah Amani dan Vanidah Imran.

Megat Sharizal berkata, Mencari Ramlee menceritakan bagaimana orang ramai hanya menghargai Seniman Agung itu pada penghujung karier dan selepas kematiannya.

“Kami pilih tarikh hari ini (Jumaat lalu) untuk menganjurkan majlis tahlil sempena hari lahir P Ramlee. Pada masa sama, kami mahu perkenalkan filem yang kami bikin tahun lalu, iaitu Mencari Ramlee.

“Ini bukan filem biografi P Ramlee, sebaliknya kisah fiksyen menceritakan era kejatuhan beliau. Ini idea saya sendiri sejak 2012.

“Saya pilih P Ramlee sebagai subjek yang diketengahkan dalam filem sulung ini kerana saya jadi pelakon dan pengarah disebabkan beliau. Sejak kecil saya didedahkan dengan karya P Ramlee.

“Apabila orang tanya, siapa inspirasi dan idola, saya jawab P Ramlee. Saya sengaja tidak hasilkan filem biografi kerana sukar menghasilkan naskhah seumpama itu di Malaysia,” katanya pada majlis tahlil dan bacaan Yasin sempena ulang tahun Allahyarham P Ramlee di Masjid Teras Jernang, Bandar Baru Bangi di sini, baru-baru ini.

Megat Sharizal berterima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atas pemberian Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM1 juta bagi merealisasikan projek itu.

“Teman rapat seperti Nik Amir dan Ariel, mereka sudah menghasilkan filem kedua atau ketiga. Jadi, mereka beri inspirasi kepada saya, apatah lagi melihat filem arahan Nik Amir, Imaginur berjaya.

“Jadi biarpun gementar, saya harap penonton dapat terima filem ‘indie’ ini,” katanya.

Megat Sharizal juga berterima kasih kepada pelakon yang sudi bekerja dengannya dan memberi persembahan sepenuh jiwa seperti Tony dan Sofea.

“Saya dan Tony sudah lama berkawan. Kami pernah jayakan P Ramlee The Musical. Saya fikir Tony ada imej paling hampir dengan P Ramlee.

“Saya sudah lama meminati Sofea dan kami pernah bekerjasama dalam filem Hanyut. Selepas baca skrip dan berbincang mengenai watak, Sofea akhirnya bersetuju membintangi filem Mencari Ramlee,” katanya.

Megat Sharizal berkata, filem Mencari Ramlee kini dalam proses pasca produksi dan dirancang untuk ditayangkan di pawagam September depan.

Sementara itu, Sofea mengaku seronok menjayakan naskhah yang diarah sahabat lamanya itu. Bintang filem box office, Perempuan, isteri dan… ini suka bekerja dengan pembikin filem yang ‘ghairah’ berkarya.

“Saya bawa watak Zaiton dalam filem Mencari Ramlee. Dalam naskhah ini, kita dapat lihat empat watak utama bertemu iaitu karakter dipegang Mimi, Tony, Megat Shahrizal dan saya sendiri.

“Apabila bertemu, dapat dilihat perbezaan dan persamaan empat watak ini yang berkait rapat dengan karya P Ramlee. Apabila watak saya dan Tony bertemu, kita akan tengok cuitan cinta.

“Kalau kita cakap pasal cinta dalam filem, selalunya dibawa orang muda. Tetapi, dalam filem ini, kita dapat lihat bagaimana orang matang bercinta.

“Sebaik dapat skrip dan membacanya, saya suka dengan perwatakan dibawa naskhah ini.

“Benar, Megat Sharizal kawan baik, namun saya terbabit dalam filem ini bukan disebabkan kawan. Sebaliknya, saya suka dengan mereka yang tampil dengan sesuatu yang berbeza dalam berkarya,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts