fbpx

Hanya dua peratus syarikat Malaysia sedia hadapi serangan siber – Cisco

KUALA LUMPUR: Hanya dua peratus daripada keseluruhan organisasi di Malaysia mencapai tahap ‘matang’ yang diperlukan untuk menghadapi ancaman risiko keselamatan siber moden.

Menurut Indeks Kesiapsiagaan Keselamatan Siber 2024 di bawah Cisco, 77 peratus responden mendedahkan, insiden keselamatan siber berkemungkinan akan memberi kesan kepada perniagaan mereka dalam tempoh 12 ke 24 bulan akan datang.

Selain itu, indeks itu turut mendedahkan, 98 peratus daripada keseluruhan responden kajian berkemungkinan besar akan meningkatkan perbelanjaan bagi mengukuhkan keselamatan siber dalam tempoh 12 bulan akan datang.

“Kos yang terpaksa ditanggung akibat ketidaksediaan menghadapi serangan siber agak tinggi, dengan 73 peratus responden mengatakan mereka telah mengalami insiden berkaitan dalam tempoh 12 bulan lepas, dan 44 peratus mengatakan terpaksa menanggung kos sekitar AS$300,000 (RM1.4 juta).

“Pendekatan tradisi seperti menggunapakai beberapa penyelesaian keselamatan siber jelas tidak menunjukkan keputusan yang diingini, dengan 87 peratus responden mengakui pendekatan sedemikian melambatkan keupayaan pasukan mereka untuk mengesan, bertindak balas, dan pulih daripada insiden tersebut.

“Ini jelas menimbulkan kebimbangan yang signifikan kerana 68 peratus daripada organisasi berkata mereka telah menggunakan lebih daripada 10 penyelesaian untuk keselamatan siber, manakala 24 peratus lagi menggunakan lebih daripada 30,” menurut kajian Cisco lagi.

Bagi menangani cabaran dalam landskap masa kini, Cisco berkata, syarikat mesti memacu pelaburan yang lebih berkesan dalam sekuriti, termasuk menggunapakai langkah sekuriti yang berinovatif, serta pendekatan platform yang sesuai.

Selain itu pengurusan syarikat juga digalakkan untuk mengukuhkan kemampanan rangkaian, menggunakan penjanaan teknologi pembuatan, serta meningkatkan pengambilan pekerja bagi merapatkan jurang dalam kemahiran keselamatan siber.

“Landskap cabaran hari ini lebih rumit berbanding dahulu, dan organisasi global, termasuk mereka di Malaysia masih lambat untuk meningkatkan kemampanan siber mereka.

“Syarikat perlu menggunakan pendekatan platform yang akan memberikan paparan tunggal yang mudah, selamat, serta menyeluruh ke dalam infrastruktur mereka demi mengukuhkan postur keselamatan mereka dan memanfaatkan peluang yang datang dengan teknologi baru muncul dengan sebaik-baiknya,” kata Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Hana Raja.

Sumber: Astro Awani

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews