fbpx

Isu caci Islam, semua NGO perlu lapor polis

Putrajaya: Semua badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) dan ahli Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) seluruh negara disaran membuat laporan polis terhadap individu yang menghina Islam.

Yang Dipertua YADIM yang Pengerusi MAIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, laporan pertama sudah dibuat di Balai Polis Tampoi, Johor oleh Pengerusi MAIM Johor, Ustaz Muhamad Ammar Abdulah merangkap Pengarah YADIM Johor pada jam 2.30 petang semalam.

Katanya, turut bersama membuat laporan itu adalah rakan-rakan NGO dan PEKIDA.

“Pengarah-pengarah MAIM negeri seluruh negara juga sudah dimaklumkan supaya melakukan perkara sama bagi memastikan gelombang kesedaran akan kepentingan memelihara kesucian Islam terus tersebar,” katanya melalui satu kenyataan.

Sebelum ini tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki dipercayai berada di luar negara mencaci Nabi Muhammad SAW dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hasanuddin berkata, video itu turut mencaci mufti, polis dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang sewajarnya dikenakan tindakan undang-undang bagi mengelak insiden ini tidak berulang.

Menurutnya, MAIM selaku gabungan permuafakatan dan kerjasama antara YADIM bersama NGO Islam yang lain komited untuk mempromosikan keharmonian antara agama menerusi pelbagai pendekatan akademik dan turun padang menyantuni masyarakat.

Katanya, program menyantuni masyarakat berbilang kaum sentiasa diatur dan dilaksanakan sepanjang masa bagi mempromosi keharmonian antara semua kaum di negara ini.

“Orang ramai seharusnya mengambil pengajaran daripada beberapa tragedi rusuhan kaum yang berlaku sebelum ini serta insiden-insiden rusuhan di luar negara akibat sentimen agama dan perkauman yang menjadi permainan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews