fbpx

Bank Rakyat umum dividen 2023, 15 peratus

Kuala Lumpur: Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen 15 peratus bagi tahun kewangan 2023 membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM424.62 juta.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ewon Benedick berkata, pencapaian ini harus dipuji memandangkan Bank Rakyat tidak terkecuali daripada berdepan dengan ketidaktentuan pasaran ekonomi global dan persekitaran perbankan yang semakin mencabar.

Katanya, pembayaran dividen kepada anggota akan dilakukan mulai 5 April 2024 dan prestasi kewangan memberangsangkan itu membolehkan Bank Rakyat mengoptimumkan modal dan mengekalkan pembayaran dividen yang tinggi sebagai ganjaran kepada semua anggota dan pihak berkepentingan Bank Rakyat untuk sokongan berterusan mereka.

“Bersempena Ulang Tahun Bank Rakyat ke-70, Bank Rakyat juga mengumumkan dividen istimewa sebanyak 2.0 peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM56.62 juta dan akan diagihkan berdasarkan pegangan saham yang layak pada 31 Disember 2023.

“Pembayaran dividen istimewa ini akan dilakukan pada September 2024 bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Bank Rakyat ke-70,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Bank Rakyat masih lagi mengekalkan prestasi kadar dividen berjumlah dua digit untuk tempoh melebihi 20 tahun dan percaya pencapaian itu adalah hasil daripada komitmen Bank Rakyat dalam melaksanakan mandat dipertanggungjawabkan bagi memperkasa kesejahteraan ekonomi anggota dan pelanggannya.

Selain itu, beliau berkata, Bank Rakyat meneruskan sokongan terhadap mandat tahunan untuk ekosistem koperasi dengan menyumbang sebanyak 2.0 peratus daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM35.47 juta disumbang kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi.

“Seterusnya, 1.0 peratus bersamaan RM17.74 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi dan jumlah sumbangan bagi 2023 adalah sebanyak RM53.21 juta,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts