fbpx

Beberapa pelaksana buat badal haji untuk 100-200 orang

KUALA LUMPUR: Umat Islam disaran supaya berhati-hati dengan tawaran badal haji dengan harga tidak munasabah dan mempergunakan pelajar Malaysia di Makkah yang kononnya diupah bagi mengerjakan ibadat itu.

Yang Dipertua Persatuan Pelajar Malaysia Mekah (PPMM), Syakir Rusydi Ahmad Fauzi, berkata mereka tidak pernah bekerjasama dengan mana-mana syarikat yang menawarkan pakej badal haji.

Individu yang ingin menggunakan khidmat pelajar perlu menghubungi mereka tanpa perantaraan mana-mana syarikat.

“Pihak persatuan sama sekali tidak akan memaafkan individu yang mengeksploitasi nama pelajar demi penipuan mereka dalam meraih keuntungan.

“Kami juga dapati berlaku penipuan ketika pelaksanaan haji, di mana jumlah pelaksana hanya beberapa orang sahaja tetapi setiap individu terbabit mengambil upah badal haji seramai 100 hingga 200 orang peserta dan diniatkan dalam satu pelaksanaan haji.

“Mereka membuat rakaman video dan hanya menyebut nama peserta terbabit bagi mengaburi penipuan mereka” katanya.

Selain itu, PPMM turut menegaskan, berlaku manipulasi dari segi harga dengan kadar badal haji tidak semurah seperti yang diiklankan di Malaysia.

Jelasnya, ia mengambil kira keadaan semasa seperti kos permit pelaksanaan haji, harga pakej yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi dan kerumitan pelaksanaan haji itu sendiri yang memakan pelbagai kos dan tenaga.

“Harga pakej badal haji tidak setanding dan tidak munasabah dengan harga yang sangat rendah seperti yang diuar-uarkan di Malaysia dengan pelbagai cenderahati ditawarkan.

“Justeru, kami menasihati semua pihak yang ingin melaksanakan badal haji supaya berhati-hati daripada tertipu dengan pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts