fbpx

Lelaki Israel didakwa hari ini

Kuala Lumpur: Lelaki warga Israel yang ditahan bulan lalu tiba di Kompleks Mahkamah di sini dengan kawalan ketat polis.

Kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membawa Shalom Avitan, 38, dilihat masuk ke pekarangan mahkamah kira-kira 8 pagi.

Avitan yang dalam keadaan tangan bergari kemudiannya dibawa memasuki lobi mahkamah sambil dikawal pasukan polis CID Bukit Aman yang lengkap bersenjata.

Lelaki itu yang memakai baju T berwarna hitam dan mengenakan pelitup muka dilihat tunduk ketika dibawa menuju ke bilik mahkamah di tingkat empat.

Proses pendakwaan terhadap warga asing itu dijangka berlangsung di hadapan kira-kira 10 pagi.

Avitan dijangka berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api dan Akta Imigresen 1959/1963.

Jika sabit kesalahan di bawah Akta Senjata Api, suspek boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.

Pada 27 Mac lalu, lelaki itu ditahan di Jalan Ampang kerana memiliki enam senjata api dan 200 peluru.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan suspek akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu lebih 20 pengamal media berkumpul sejak 7.30 pagi bagi membuat liputan kes berkenaan.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts