fbpx

Pemandu lori didakwa cuba bunuh polis trafik

KUALA PILAH: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tiga pertuduhan membabitkan cubaan membunuh anggota polis serta dua lagi kesalahan trafik.

Tertuduh Muhamad Hasrulnizam Hasim, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh cuba menyebabkan kematian ke atas seorang anggota polis lelaki selepas bertindak melarikan diri dari ditahan dengan cara menghimpit dan cuba melanggar motosikal dinaiki anggota terbabit sehingga terbabas.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 9 April lalu antara jam 12.30 tengah hari hingga 1.15 tengah hari di Kilometer 5 Jalan Serting Tengah- Keratong di Jempol.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kesalahan trafik, pada tarikh sama jam 12.25 tengah hari di Kilometer 9 Jalan Bahau-Kemayan, di Jempol tertuduh didapati memandu lori dalam keadaan melulu dan merbahaya iaitu dengan sengaja menghimpit sehingga hampir melanggar kenderaan polis dan merbahaya kepada orang awam.

Oleh yang demikian, dia didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen Akta yang sama.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) atas kesalahan memandu lori dengan tidak cermat terhadap pengguna jalan raya dan cuai sehingga melanggar sebuah motosikal.

Dia boleh dihukum denda sehingga RM10,000 dan boleh dihukum penjara 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farahidah Zool Beri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menawarkan jaminan RM18,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 6 Mei ini bagi pengurusan kes serta lantikan peguam.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts