fbpx

Peniaga ketam didakwa hina Raja Perlis

© Jeremy Jensen Photography

KANGAR: Seorang peniaga ketam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menghantar komunikasi jelik mengenai Raja Perlis di Facebook bulan lalu.

Tertuduh, Hasbullah Mohammad, 41 dari Changlun, Kedah mengangguk faham dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Hasbullah didapati melalui Facebook dengan menggunakan profil “Muhammad Muhammad (ku tehh ku muhamnad)” secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya terhadap Raja Perlis dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Tertuduh didapati melakukan perbuatan itu pada 6 Mac lalu sekitar jam 3.26 pagi dan hanya disedari pengadu yang juga pelayar Facebook pada 7 pagi hari sama.

Oleh hal demikian, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Pendakwaan dijalankan Pengarah Pendakwaan Perlis, Muhamad Asyraf Md Kamal dan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Suzila Chek Pi manakala tertuduh diwakili peguam Syazwan Shaidan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Muhamad Asyraf dalam hujahan meminta mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh memandangkan ia adalah kesalahan serius membabitkan isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R).

Selain itu, kesalahan berkenaan juga membabitkan denda sehingga RM50,000 serta penjara setahun selain segala laporan siasatan polis dan forensik serta analisa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjurus kepada tertuduh.

Sementara itu, Syazwan meminta mahkamah menawarkan jaminan minimum memandangkan tertuduh mempunyai masalah kesihatan mental dan terpaksa menanggung ibunya yang uzur dan lumpuh.

Mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan mental di sebuah hospital psikiatri selama sebulan.

Jaminan hanya akan ditetapkan selepas mahkamah menerima laporan penilaian psikiatri tertuduh.

Mahkamah menetapkan 15 Mei hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts