fbpx

Jumlah mangsa banjir meningkat, 7 PPS diaktifkan di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka

KUALA LUMPUR: Seramai 764 mangsa daripada 192 keluarga yang terjejas akibat banjir kini ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan di Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Jumlah mangsa banjir berpindah di tiga negeri itu menunjukkan sedikit peningkatan berbanding jumlah mangsa berpindah direkodkan setakat jam 10 malam tadi iaitu seramai 748 mangsa.

Data dikeluarkan menerusi portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pagi ini, dikemas kini pada jam 9 pagi tadi, menunjukkan masing-masing tiga PPS beroperasi di Selangor dan Negeri Sembilan serta satu di Melaka.

Selangor mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi berpindah ke PPS dengan 663 mangsa membabitkan 175 keluarga, diikuti Negeri Sembilan dengan 75 mangsa (11 keluarga), manakala Melaka dengan 26 mangsa (enam keluarga).

Di Selangor, tiga PPS dibuka di tiga daerah terjejas iaitu masing-masing satu di Shah Alam membabitkan 356 mangsa daripada 87 keluarga, Klang dengan 253 mangsa (73 keluarga) dan Kuala Selangor dengan 54 mangsa (15 keluarga).

Semua mangsa banjir di Selangor ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Sempak, Paya Jaras; Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor Desa Coalfields, Kuala Selangor dan SK Sungai Binjai di Meru, Klang.

Di Negeri Sembilan, dua PPS diaktifkan di daerah Port Dickson menempatkan 67 mangsa daripada lapan keluarga dan satu PPS di Rembau menempatkan lapan mangsa daripada tiga keluarga.

Balai Raya Kampung Permatang Pasir dan Balai Raya Kampung Linggi, Linggi dijadikan PPS di Port Dickson, sementara itu mangsa banjir di Rembau ditempatkan di Surau Kampung Nerambai Lubok China.

Di Melaka, 26 mangsa banjir dalam daerah Durian Tunggal kini ditempatkan di Balai Raya Bukit Balai, Alor Gajah.

Sementara itu, data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan dua sungai di Selangor iaitu Sungai Buloh di Parit Mahang, Kuala Selangor dan Sungai Binjai di Pekan Meru, Klang kini pada paras waspada dan bahaya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts