fbpx

Kerbau atau babi hutan punca kemalangan di Jalan Tebu Hitam?

KUALA LUMPUR: Tidak dinafikan kemalangan berlaku antara seorang penunggang motosikal dan seekor binatang di Jalan Tebu Hitam dekat Rompin, Pahang pada September 2021, namun persoalan timbul sama ada haiwan itu ialah kerbau atau babi hutan.

Perkara itu dinyatakan Hakim Mahkamah Sesyen Kuantan, Maimoonah Aid, sebelum menolak tuntutan penunggang itu, Tai Hong Siong, 47, sebagai plaintif terhadap Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) Corporation Sdn Bhd selaku defendan, atas dakwaan kemalangan itu berpunca daripada kerbau dimiliki LKPP.

Maimoonah berkata, isu kerbau atau babi hutan timbul berikutan keterangan mengikut laporan Hospital Rompin.

“Berdasarkan keterangan itu, defendan berhujah bahawa maklumat diberi plaintif ketika itu (langgar babi hutan pada hari kejadian) adalah maklumat yang masih segar selepas kemalangan tanpa ruang masa untuk satu pemikiran semula.

“Justeru, kemungkinan bahawa sebenarnya babi hutan yang menyebabkan kemalangan adalah tinggi berbanding laporan polis dibuat hampir dua bulan selepas kemalangan yang menyatakan seekor kerbau.

“Keterangan pegawai penyiasat mempercayai bahawa kemalangan disebabkan kerbau adalah berdasarkan keterangan plaintif semata-mata, apatah lagi pegawai itu hanya ke tempat kejadian pada tarikh sama laporan polis dibuat.

“Jelas, tiada bukti boleh diperoleh bagi mengesahkan jenis binatang terbabit,” katanya dalam alasan penghakiman bertarikh 16 April lalu yang dimuat naik menerusi sistem pengurusan e-Kehakiman.

Hakim itu berkata, pegawai penyiasat tidak membuat siasatan mengenai dakwaan kemungkinan kerbau dimiliki defendan adalah benar atau sebaliknya.

“Malah, saksi itu mengesahkan semasa pemeriksaan balas bahawa terdapat haiwan liar lain di kawasan kemalangan.

“Oleh itu, mahkamah berpendapat bahawa keterangan pegawai penyiasat tidak membantu kes plaintif bagi menyokong bahawa binatang terbabit adalah kerbau,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts