fbpx

Guna wang KWSP untuk tujuan penting, jangan lupa ia untuk masa depan

Foto: ART CHEN/The Star

LANGKAH kerajaan memperkenalkan i-Sinar yang membolehkan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bertujuan untuk membantu mereka yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Pada Disember 2020, kadar pengangguran naik 4.8 peratus dan dianggarkan seramai 772,900 orang tidak bekerja.

Jadi, inisiatif kerajaan itu diharap dapat mengurangkan beban mereka yang terjejas teruk akibat kehilangan pekerjaan dan sumber mata pendapatan.

Kini, pencarum boleh mengeluarkan wang dari Akaun 1 tersebut tanpa syarat.

Perubahan syarat ini berdasarkan maklum balas rakyat terhadap inisiatif i-Sinar yang dilancarkan pada akhir tahun lalu.

Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga RM10,000.

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

Bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000 (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1 mereka.

Namun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000 dan pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000.

Ada beberapa kategori bagi pengeluar wang ini. Golongan pertama ialah daripada golongan yang benar-benar memerlukan


Pencarum yang mengeluarkan wang tersebut bagi tujuan kelangsungan kehidupan kesan daripada kehilangan pekerjaan.

Mereka mengeluarkan wang ini adalah untuk memulakan pekerjaan baharu sebagai contoh untuk memulakan perniagaan.

Selamat maju jaya diucapkan bagi golongan ini.

Golongan kedua ialah golongan yang mengeluarkan wang tersebut untuk melakukan pelaburan lain.

Bagi golongan ini, dinasihatkan mereka memilih portfolio pelaburan yang memberi kadar pulangan yang melebihi daripada kadar keuntungan yang ditawarkan oleh KWSP.

Sebenarnya, jika dibandingkan dengan pelaburan lain, menyimpan wang di KWSP adalah merupakan simpanan yang agak kompetitif dan berisiko rendah berbanding simpanan atau pelaburan di tempat lain.

Jangkaan keuntungan KWSP adalah sekitar 4.0 ke 5.5 peratus setahun.

Pada kadar 5 peratus setahun dalam masa 20 tahun, wang RM10,000 ini akan bertambah menjadi RM26,532.

Bermakna keuntungan yang diperoleh adalah sebanyak RM16,532 dalam masa 20 tahun.

Kadar ini adalah kompetitif kerana risikonya adalah rendah serta dijamin kerajaan berbanding dengan simpanan atau pelaburan di tempat lain.

Pencarum juga harus mengambil kira kos sampingan serta susut nilai yang harus ditanggung jika mahu melakukan perlaburan baharu.

Pembelian kereta dan jenis aset yang mempunyai susut nilai yang tinggi adalah tidak digalakkan kerana tujuan asal wang ini adalah untuk simpanan hari tua.

Terdapat juga golongan yang mengeluarkan wang ini kerana mempunyai pandangan bahawa mereka mahu menikmati wang tersebut semasa masih muda dan mahu mengecapi dan merasai pengunaannya sebelum hari tua.

Ada mereka mengatakan bahawa mungkin umur tidak sampai tua, maka baiklah menikmati sebahagian.

Bagi mereka hanya RM10,000 dikeluarkan dan masih ada baki di akaun mereka untuk simpanan mendatang.

Golongan ini dinasihati untuk lebih berhemah dalam perbelanjaan.

Tidak dinafikan kewujudan kewangan tersebut dapat merancakkan ekonomi negara, namun ia tidak bertepatan dengan tujuan asal penyimpanan wang tersebut untuk kegunaan wang simpanan kecemasan.

Penulis ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia.

Kenyataan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang.

Sumber: Astro AWANI

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts