fbpx

Cuba rasuah polis RM150, lelaki Bangladesh kena denda RM1,000

WARGA Bangladesh didenda RM1,000 dan dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini selepas didapati bersalah merasuah seorang pegawai polis bulan lalu selepas ditahan kerana tidak memakai pelitup muka dengan betul.

BUTTERWORTH: Seorang lelaki warga Bangladesh didenda RM1,000 dan penjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah merasuah seorang pegawai polis, bulan lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid ke atas tertuduh, Jahir, 49, yang mengaku bersalah sejurus selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut selain wang sebanyak RM150 dilucutkan hak kepada kerajaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi rasuah sebanyak RM150 kepada pegawai polis berpangkat asisten superintenden melalui kawannya, Mia Saddam sebagai dorongan untuk melepaskannya.

Terdahulu, tertuduh ditahan kerana melakukan kesalahan tidak memakai pelitup muka dengan betul di tempat awam dan rakannya itu tidak memiliki pasport.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar Jalan Baru, Perai antara pukul 7.50 petang hingga 8.15 malam pada 21 Februari lalu.

Jahir didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak lebih lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Azlan Basri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber: UTUSAN ONLINE

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews